nuansa

Lahir jaguh bola sepak

Oleh Zaitie Satibi

PEPATAH mengatakan ‘jika mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Itu yang dilakukan Akademi Bola Sepak Wira Muda apabila melatih kanak-kanak seawal usia enam tahun untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Akademi yang beroperasi sejak Oktober tahun lalu diNibong Tebal, Pulau Pinang itu diasaskan bekas pemain Perlis FA, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib dan kini menjadi platform mencungkul bakat pemain bola sepak dengan matlamat mewakili Pulau Pinang dan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Sebagai permulaan, seramai 110 pemain berusia antara enam hingga 15 tahun diambil untuk mengikuti latihan di padang Institut Latihan Kecemerlangan Mara dengan yuran dikenakan paling minumum. Malah akademi ini juga berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan dan di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

Menurut Shaik Awish Alkirani, objektif utama beliau menubuhkan akademi berkenaan sebagai satu usaha membantu meningkatkan kembali imej bola sepak khususnya Pulau Pinang dan kebangsaan secara amnya dengan mencungkil bakat baru yang lebih berpotensi di peringkat akar umbi.

“Biarpun sudah bersara daripada beraksi, saya tetap mahu menjadikan sukan bola sepak sebagai pentas kerjaya dan seterusnya membabitkan diri sehingga ke fasa yang lebih tinggi dengan mewujudkan Akademi Bola Sepak Wira Muda.

“Harapan saya supaya akademi ini mampu menyediakan pelapis berpotensi besar menerusi pembangunan bola sepak akar umbi sebaris dengan akademi luar negara di samping meningkatkan taraf bola sepak di Pulau Pinang.

“Saya juga mahu bila orang sebut Nibong Tebal, mereka tahu di sini ada akademi bola sepak terbaik. Saya yakin impian dapat direalisasikan jika semua pihak memberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Akademi ini turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman yang menyalurkan peruntukan untuk membeli peralatan sukan. Ia dikatakan berbeza dengan akademi bola sepak lain berikutan jurulatihnya bekas pemain Liga Super dan mempunyai pengalaman luas dalam dunia bola sepak.

Ketika dilancarkan, jumlah pelatih hanya 80 orang. Namun ia bertambah secara mendadak dan sehingga kini pelatih yang dipilih dibahagi kepada empat peringkat usia iaitu bawah lapan tahun, 10 tahun, 12 tahun dan 15 tahun.

Kanak-kanak yang terpilih menyertai akademi ini dibekalkan dengan jersi khas dan kelengkapan serta peralatan sukan terkini. Mereka berlatih selama empat jam seminggu dan diberi bimbingan sepenuhnya oleh jurulatih profesional. Mereka turut didedahkan dengan klinik video bola sepak dan sesi mandi ais dari peringkat awal untuk menjadi pemain profesional.

Shaik Awish Alkirani yang pernah bermain mewaikili Real Mulia, PKNP FC dan MOF FC untuk Piala Presiden nekad mengundur diri daripada beraksi walaupun baru berusia 25 tahun berikutan kecederaan panjang akibat Anterior Crucioate Ligament (ACG) yang mengambil masa sehingga setahun untuk pulih.

“Akademi ini bukan sekadar pusat latihan namun ia juga tempat mendapat pendidikan awal dan ilmu pengetahuan mengenai bola sepak dalam usaha melahirkan pemain yang bijak menguruskan karier mereka pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 6:30am
d