nuansa

Selamatkan harimau kita

Oleh Zaitie Satibi

SEJAK berabad lamanya harimau belang menjadi simbol kekuasaan, keindahan, kekukuhan, kekuatan dan kelangsungan hidup dalam budaya Asia.

Di Malaysia, kita boleh berbangga kerana memiliki satu daripada enam subspesies harimau yang masih wujud di dunia iaitu harimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni yang hanya boleh didapati di Semenanjung Malaysia.

Negara kita juga satu daripada 13 negara yang dikenal pasti masih mempunyai populasi haiwan berkenaan. Harimau adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan diletakkan di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Malangnya, populasi harimau mengalami penurunan yang ketara sejak lebih seabad lalu. Kira-kira 3,000 harimau dilaporkan masih tinggal di seluruh dunia pada masa kini manakala di Malaysia mencatatkan bilangan anggaran 250 hingga 340 ekor.

Ia berdasarkan kajian yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan kerjasama badan bukan kerajaan seperti World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS) Malaysia dan Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) di tiga habitat utamanya di Semenanjung Malaysia meliputi Taman Negara (Pahang, Terengganu dan Kelantan), Belum Temenggor (Perak) serta Endau-Rompin (Johor).

Bagaimanapun, bila­ngan yang dicatatkan terbabit didapati berkurangan dan PERHILITAN mengang­garkan Malaysia mempunyai kurang daripada 200 harimau yang masih menghuni hutan. Bagi mengelak spesies ini daripada terus pupus, PERHILITAN memulakan kempen intensif dua tahun dikenali dengan nama Selamatkan Harimau Malaya Kita yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Kempen itu dilancarkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2019 di ibu negara, baru-baru ini. Sambutan berkenaan yang diraikan pada 3 Mac setiap tahun bertemakan Kehidupan Dalam Air: Untuk Manusia dan Planet seperti yang ditetapkan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Dr Xavier dalam ucapannya berkata, penurunan populasi harimau di dunia termasuk Malaysia disebab­kan pelbagai faktor antaranya pemburuan haram yang didorong permintaan pasaran yang tinggi dan kehilangan habitat.

“Harimau ini bukan saja dijerat, malah habitatnya turut diceroboh penduduk tempatan dan warga asing secara tidak langsung memberi tekanan kepada kelangsungan populasi harimau Malaya ini.

“Daripada lebih 1,000 operasi yang dijalankan dari 2013 hingga 2018, sejumlah 3,500 jerat ditemui dan 162 penceroboh ditahan membabitkan kesalahan jenayah hidupan liar.

“Oleh itu, dalam kempen Selamatkan Harimau Malaya Kita kerajaan mengisy­tiharkan perang terhadap pemburu haram dan ini akan menjadi agenda dan komitmen untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam komitmen untuk memastikan spesies harimau Malaya tidak pupus, kerajaan akan meningkat­kan rondaan di bawah Program Perlindungan Harimau dan Rondaan (TP3). Malah, usaha sama turut dijalankan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pelaksanaan di lapangan.

“Rondaan 24 jam ini di kawasan habitat harimau sangat penting dalam memastikan harimau berkenaan dilindungi sepenuhnya daripada ancaman pemburu haram yang sentiasa memasang jerat,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 4:30am
d