nuansa

Luahan rasa selepas kehilangan datuk

Oleh Aniza Zainudin

PEMERGIAN datuk tersayang pada 2016, meninggalkan impak besar terhadap tahap emosi Mulaika Nordin (gambar) yang ketika itu hanya berusia 12 tahun.

Dirundung kesedihan akibat kehilangan tempat untuk bermanja, gadis berusia 16 tahun ini menzahirkan perasaan duka menerusi karya lukisannya.

Sakura, nama lukisan pertama dihasilkan Mulaika bagi menggambarkan pandangan dan perasaannya terhadap ‘kerapuhan’ hidup seseorang.

“Berdasarkan kajian saya lakukan, bunga sakura melambangkan ‘fragility’ (kerapuhan) kehidupan manusia. Dalam erti kata yang mudah, manusia mudah hilang (kematian) seperti pemergian datuk.

“Selain sakura berwarna merah, saya turut mencoretkan kombinasi warna hitam merujuk kepada perasaan sedih atas kematian dalam keluarga yang pertama kali saya saksikan sendiri manakala putih pula menunjukkan keseimbangan perasaan itu.

“Warna biru pula sebagai simbol kepada datuk yang mempunyai minat dalam berkebun malah memiliki kolam sendiri.

“Lukisan Sakura ini mempunyai empat siri dan ia mengenai perasaan saya terhadap peristiwa kematian datuk.

“Sejak kejadian ini, saya semakin aktif menghasilkan lukisan dan bersyukur atas ilham dianugerahkan Allah kepada saya, diiringi sokongan ibu bapa serta Balai Seni Negara,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas ini.

Pameran solo pertama, ‘A Thousand Days of Change,’ pelukis termuda di Balai Seni Negara ini berlangsung bermula 28 Mac hingga 26 Mei nanti menampilkan 47 karya termasuk bersiri yang dihasilkan antara 2016 hingga 2018.

Menjadikan kanvas dan akrilik sebagai senjata, Mulaika mengakui sering menghabiskan karyanya dalam tempoh masa yang sama bagi mengekalkan ilham, inspirasi serta perasaan ingin disampaikan.

Mulaika juga menyifatkan alam semula jadi, keluarga, teman dan persekitaran sebagai pengaruh utama dalam menterjemahkan pandangan serta perasaan.

Mengulas karya Blue Series remaja ini memilih tona biru, hitam dan kelabu menggambarkan pemerhatiannya terhadap persahabatan selain tertarik dengan pembentukan serta pergerakan asap di udara.

Siri biru ini ditamatkan dengan karya bertajuk, Forces apabila lukisan berkenaan turut diselitkan dengan percikan warna kuning lembut, simbolik kepada pencahayaan yang juga permulaan baharu.

Masih di bangku persekolahan, Mulaika turut berkongsi pengalaman dan cetusan emosi yang dilalui di sekolah melalui karya bertajuk Kindergarten dan Bilik Kaunseling.

“Pengalaman saya berada di tadika sangat teruk kerana saya seorang pemalu dan tidak pandai bergaul. Jadi, saya tidak memiliki kawan ketika di tadika.

“Saya memilih warna terang dan jenis tulisan besar bagi meluahkan rasa kecewa serta sedih itu.

“Karya Bilik Kaunseling pula gambaran perasaan saya dan teman yang ingin mendapatkan khidmat nasihat namun akhirnya ia semakin memburukkan keadaan.

“Gambar pelajar perempuan berbaju kurung namun kepalanya seakan-akan meletup itu merujuk kepada saya yang gagal mendapat khidmat nasihat tepat bagi menyelesaikan masalah sendiri,” katanya.

Memiliki lebih 100 karya dihasilkan, Mulaika memasang impian besar untuk berkongsi inspirasi bersama pengunjung menerusi buah tangannya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 10:34am
d