nuansa

Pokok bakau dilengkapi sensor

Oleh Aniza Zainudin

LEBIH 1,000 anak pokok bakau baru ditanam di Kampung Dato Hormat, Sabak Bernam, Selangor awal April lalu menerusi projek Bakau Terhubung Ericsson yang dimulakan sejak 2015.

Projek yang dianugerahkan di bawah United Nations Momentum for Change ICT ini berjaya menarik penyertaan lebih 200 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Ericsson Malaysia, edotco dan masyarakat setempat bersama-sama melakukan aktiviti penanaman ini.

Kawasan penanaman anak pokok ini dilengkapi sensor untuk memantau maklumat masa nyata berkenaan keadaan tanah, cuaca, api, paras air dan gangguan pihak ketiga bagi memastikan anak pokok bakau mencapai kematangan penuh.

Fungsi sensor ini juga membantu mengumpul dan menghantar data secara langsung ke awan (cloud), sebelum ia diakses petani, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa untuk memahami kesihatan anak pokok berkenaan.

Ketua Pegawai Negara edotco Malaysia Wan Zainal Adileen berkata, hutan paya bakau adalah bahagian penting ekosistem negara yang melindungi masyarakat setempat daripada bencana alam.

“Ia bukan saja benteng keselamatan bencana alam semula jadi bagi manusia, bahkan menggalakkan hidupan liar di ekosistem pesisiran pantai.

“Malah ia juga bergantung kepada kita untuk melaksanakan apa yang boleh dilakukan untuk memelihara dan melindungi hutan paya bakau.

“Saya gembira melihat sokongan sukarelawan daripada pelbagai pihak tampil memberi sumbangan kepada projek Bakau Terhubung yang semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton berkata, projek Bakau Terhubung untuk melindungi dan menggalakkan ekosistem di kampung yang membentuk hampir 3,000 batu pesisiran laut di Malaysia.

Katanya, inisiatif ini dipertingkatkan menerusi kerjasama dengan edotco. Projek Bakau Terhubung adalah satu bukti kukuh berkenaan teknologi Ericsson mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Ericsson kini berusaha untuk mengembangkan penyelesaian IoT (objek rangkaian Internet) yang digunakan untuk projek Bakau Terhubung bagi merangkumi kes penggunaan lebih meluas sekitar ekosistem paya bakau.

Pada masa sama, Ericsson turut mengumumkan penganjuran hackathon, ‘Technology for Good Challenge 2.0’ bersama dengan Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Program Hackathon ini menyasarkan matlamat untuk menarik idea baru dan merangsang inovasi dalam ruang IoT bagi ekosistem paya bakau, selain mewujudkan kes penggunaan tempatan untuk mempercepatkan penggunaan IoT di universiti dan industri.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 11:10am
d