nuansa

Sahut seruan amal jariah

Oleh Zaitie Satibi

RAMADAN diraikan penuh kesyukuran dan keinsafan nyata meningkatkan memberi kesedaran kepada umat Islam untuk menghulurkan sedekah sekadar mampu demi memberikan kegembiraan buat golongan kurang bernasib baik.

Bagi meneruskan aktiviti amal jariah pada bulan mulia ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyampaikan bantuan persediaan Ramadan kepada 120 keluarga kurang berkemampuan di sekitar bandar raya berkenaan sempena Program Ziarah Ramadan, baru-baru ini.

Bantuan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, sardin, kicap, garam, tepung gandum, susu pekat dan biskut bagi menjamin menu harian yang sihat, di samping wang tunai RM100 untuk setiap keluarga.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam mengenal pasti 120 penerima sumbangan terdiri daripada lima keluarga bagi setiap zon MPP.

“Mereka terdiri daripada warga Shah Alam, Selangor yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah layak menerima sumbangan Ramadan mengikut kriteria ditetapkan seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU).

“Program ini bertujuan meringankan beban mereka bagi membuat persediaan menyambut Ramadan. Aktiviti ini juga komitmen secara berterusan pihak MBSA untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan, di samping memberi peluang kepada warga Shah Alam untuk mendekati pihak pengurusan MBSA.

“Malah, program yang dianjurkan ini juga menjadi platform kepada pihak MBSA untuk merapatkan hubungan silaturahim dan ukhuwah bersama masyarakat setempat,” katanya.

Bantuan kepada keluarga terbabit disampaikan Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan. Turut hadir, Pengerusi MPP Zon 12, Kamarudzaman Sanusi, Pengerusi MPP Zon 14, Papparaidu Veraman, Pengerusi MPP Zon 19, Wan Dzahanurin Ahmad dan Pengerusi MPP Zon 23, Mariam Abdul Rashid.

“Kami berharap melalui program ini dapat membantu sedikit sebanyak beban mereka yang kurang bernasib baik untuk menjalani ibadah dengan sempurna sepanjang Ramadan ini. Bantuan Ramadan ini adalah acara tahunan kami dan diteruskan pada masa akan datang.

“Apapun, kami turut berharap supaya masyarakat sama-sama tampil memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan, sekali gus mengikis perasaan tidak pedulikan kesusahan orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 8:23am
d