nuansa

Capal pak wahab rentas laut china selatan

Oleh Nurul Husna Mahmud

KETIBAAN Ramadan bermakna bermulalah bulan paling sibuk bagi pengusaha kecil yang menghasilkan produk pakaian dan persiapan raya.

Tidak terkecuali Abdul Wahab Syamaruddin, satu-satunya pembuat capal di Keramat Mall menerusi jenama Capal Cap Kancil Emas.

Katanya yang mesra dengan panggilan Pak Wahab menyifatkan sepatu tradisi itu masih mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat Melayu terutama bagi golongan yang melihatnya sebagai padanan paling serasi tatkala mengenakan busana tradisi.

Di sebalik permintaan tidak pernah surut, malah makin meningkat terutama menjelang musim Aidilfitri, kata Abdul Wahab, jumlah pembuat capal kian berkurangan dan dia gusar jika satu hari nanti tiada insan yang mahu mewarisi pembuatan sepatu berkenaan.

“Saya beri pendedahan asas mengenai pembuatan capal kepada anak sulung, Lokman Hakim, 23, tetapi dia pula tidak terbabit sepenuh masa kerana pada saya minat mendalam itu perlu ada. Biarlah dia cari pengalaman di luar, esok kalau betul-betul berminat dia akan buat sendiri.

“Saya juga pernah turunkan ilmu ini kepada dua anak murid, masing-masing dari Perak dan Negeri Sembilan tetapi nampaknya ketekunan dan minat mereka tidak cukup untuk pergi jauh dalam pembuatan capal.

“Setakat ini mereka hanya lakukannya sebagai ‘kerjaya’ mencari pendapatan sedangkan saya dulu mempelajari kerana minat. Minat juga menyebabkan saya bersungguh-sungguh mewarisi ilmu ini daripada bapa, Zahar Ahmad kerana minat terhadap seni pembuatan capal itu sendiri,” katanya.

Tidak seligat dulu, kata Abdul Wahab, dia tetap sibuk menyiapkan tempahan sehinggalah melewati waktu

sahur. Tempahan

capal dilakukan ketika ini hanya memenuhi permintaan

pelanggan tetapnya.

“Kalau dulu memang saya ambil tempahan secara borong dengan bantuan enam pekerja tetapi pada usia ini saya terpaksa mengehadkan tempahan hanya untuk individu tertentu kerana faktor usia.

“Sehari saya mampu siapkan sekitar 35 hingga 40 pasang capal dengan bantuan dua pekerja. Pembuatan menggunakan mesin tetap memerlukan kepakaran kerja tangan terutama dalam memasang tali ekor dan muka.

“Seperti mana pembuatan baju Melayu atau kurung, capal juga mengamalkan kaedah sama dalam menarik pemakainya terus mengenakan kasut tradisi terbabit.

“Kalau individu itu sudah biasa dan selesa dengan capal buatan, mereka akan kembali menempah. Perkara utama saya titipkan dalam capal buatan saya ialah tulang muka yang membuatkan pelanggan kembali membeli produk saya,” katanya.

Mengenai pembuatan capal, tidak dinafikan kalau dahulu pembuatan capal menggunakan tangan, hanya tiga capal saja mampu disiapkan bapanya tetapi dengan bantuan mesin dalam kerja pemotongan sehinggalah jahitan pada bahagian tertentu, jumlahnya mampu ditingkatkan 10 kali ganda.

“Penghasilan capal ini rumit terutamanya alas capal itu sendiri. Ia menggunakan material kulit kemudian dilekapkan kepada kertas khas selain kerja cap dan pemasangan ‘telinga’ untuk memberi lapisan selesa pada tapak kaki sebelum pemasangan tapak capal dilakukan,” katanya.

Melihat secara dekat, Abdul Wahab dengan cekap memasang perincian seperti tali ekor dan muka, sementara pembantunya, Mohd Kamaruzzaman Mohd Ghazali, 44, menyudahkan kemasan akhir iaitu jahitan di bahagian telinga yang bercantum dengan muka capal.

Capal buatan Abdul Wahab bukan saja mendapat permintaan saja sejauh negeri Sarawak, malah hingga ke negara jiran seperti Singapura. Selain capal kulit, beliau turut menunjukkan kecintaan tinggi dalam pembuatan sepatu tradisi itu apabila tampil penggunaan fabrik warisan iaitu songket dalam rekaannya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 11:09am
d