nuansa

Karya dalam aliran 'bricolage'

Oleh Nurul Husna Mahmud

MENYAKSIKAN sendiri karya dihasilkan pe­ngasas dan teraju kolek­tif seni Satu Creative Collective, Elias Yamani Ismail di Pameran Malaysia-Lisbon Urban di Muzium Seni Asia Universiti Malaya baru-baru ini memberi perspektif berbeza mengenai karya seni yang boleh dikete­ngahkan.

Penggunaan bahan terpakai lebihan daripada industri seperti topi keledar lama, komponen motosikal tercerai, selain besi dan pengikat plastik bagi menyampaikan mesej isu pembandaran antara olahan terbaik dalam medium berkenaan oleh pelukis berdasarkan pengalamannya sebagai anak kota.

Menurut Elias, mengetengahkan hasil seni menerusi penggunaan material sebegini dikenali sebagai ‘bricolage’ mungkin sesuatu baharu. Ia adalah aliran seni moden yang cuba diperkenalkan kepada peminat seni umum.

“Sebenarnya istilah ‘bricolage’ ini diperkenalkan oleh ahli falsafah dan antropologi Perancis, Claude Levi-Strauss yang melakukan kerja lapangan ketika kajian doktor falsafah di Hutan Amazon bersama Orang Asli di situ.

“Beliau melihat penelitian terhadap penghasilan artifak hasil orang peribumi hutan Brazil sesuatu yang unik. Jadi istilah itu muncul dalam menerangkan masyarakat itu menggunakan bahan di sekeliling mereka bagi menghasilkan barang sejarah terbabit.

“Istilah mudahnya ‘bricolage’ boleh ditaf­sirkan sebagai ‘diy’ (do it yourself) merujuk pendekatan menggunakan barang sekeliling dalam penghasilan sesuatu karya,” katanya.

Kata Elias, lima karya dipertontonkan kepada umum adalah antara karya terbaharu dihasilkannya iaitu sekitar 2018 hingga 2019.

“Dalam pameran ini lima karya saya turunkan untuk tampil­kan kelainan mengenai penggunaan material baharu iaitu bahan terbuang daripada industri yang memberi kebebasan kepada artis aliran ini berkarya.

“Kalau sebelum ini material biasa dilihat ialah kanvas dan akrilik sementara bagi arca pula kayu dan besi, dalam aliran ‘bricolage’ kami bawa ialah apa saja bahan di sekeliling boleh bertukar kepada karya seni unik.

“Selain itu tidak lupa juga dalam setiap karya dihasilkan, pengunjung pameran dapat lihat proses penghasilan atau pembinaan struktur seni itu sendiri menerusi paparan jelas bahagian yang diskru, sudut yang disambung dengan pengikat plastik dan sebagainya.

“Selain itu ‘helah’ digunakan untuk menonjolkan subjek pembandaran yang diketengahkan kali ini iaitu mengenai kepadatan bandar boleh diteliti pengunjung dengan melihat secara dekat karya yang ada,” katanya.

Dalam pameran berkenaan rakan artis dari Lisbon, GonÁalo Faro turut mempamerkan karya beliau sekali gus memberi peluang peminat seni sukakan topik pembandaran membuat pembandingan mengenai gaya hidup masyarakat bandar Eropah dan Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai cabaran dihadapi, kata Elias, meskipun barangan terbabit adalah lebihan industri tetapi tidak bermakna ia ‘sampah’ kerana dia terpaksa membeli bagi menyiapkan struktur karya berkenaan.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 9:34am
d