nuansa

Kongsi rasa ceria

Oleh Aniza Zainudin

KUMPULAN Maybank menyerahkan bantuan khas kepada 2,500 pesakit di 14 hospital kerajaan di seluruh negara dalam usaha meraikan Aidilfitri bersama insan kurang bernasib baik, baru-baru ini.

Bertemakan Kasih Ramadan, Maybank melawat kira-kira 200 pesakit di wad onkologi, geriatrik dan pediatrik di Hospital Kuala Lumpur.

Sumbangan yang disalurkan terdiri daripada dana Zakat Wakalah kakitangan Kumpulan Maybank dengan persetujuan Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Ia termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Selangor), Hospital Tuanku Ja’afar (Negeri Sembilan), Hospital Sultanah Aminah (Johor), Hospital Besar Melaka, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Tuanku Fauziah (Perlis), Hospital Tengku Ampuan Afzan (Pahang), Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kelantan), Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Raja Permaisuri Bainun (Perak), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah dan Hospital Umum Sarawak.

Ketua Pegawai Modal Insannya, Nora Abdul Manaf berkata, penganjuran program berkenaan bersesuaian dengan kesucian Ramadan yang diraikan.

“Kita ingin berkongsi rahmat Ramadan dan kegembiraan Aidilfitri dengan mengedarkan barangan perayaan kepada pesakit sambil memberi sokongan moral.

“Malah kita juga berbesar hati untuk membantu menggalakkan perpaduan dan keharmonian yang lebih baik dalam kalangan rakyat, sekali gus memastikan pesakit di hospital dapat meraikan keseronokan perayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemberian kuih raya dibeli daripada usahawan Program Reach Independence & Sustainable Entrepreneurship (RISE) Yayasan Maybank dan peserta Trade (& Give) Maybank yang juga program kumpulan untuk menyokong masyarakat kurang bernasib baik menerusi kemahiran keusahawanan.

Menurut Nora, program RISE bertujuan membantu komuniti kurang upaya dan terpinggir menjalani latihan keusahawanan, seterusnya mampu berdikari dari segi kewangan.

Ujarnya lagi, pembelian kuih perayaan daripada peserta Trade (& Give) dan RISE di negeri berbeza dapat membantu meningkatkan hasil jualan dan memastikan peserta mendapat manfaat.

Katanya, ia bertepatan dengan misi kumpulan untuk ‘menginsankan’ perkhidmatan kewangan dan membantu masyarakat.

Selain program berkenaan, Maybank turut aktif menganjurkan beberapa acara lain sempena perayaan seperti Bazaar Amal MaybankHeart di Menara Maybank.

Sebanyak 10 peratus daripada hasil jualan disumbangkan kepada penerima MaybankHeart serta pengagihan bubur lambuk kepada warga kerja.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 8:30am
d