nuansa

Mushaf sentuhan Malaysia

Oleh Hafiz Ithnin

SUDAH termaktub di dalam sejarah, al-Quran itu turunnya di bumi Arab, bukan di Nusantara apatah lagi di Malaysia.

Meskipun turunnya di bumi anbia, kuasa pedoman al-Quran merentasi sempadan dunia, menjadi rujukan manusia tanpa membatasi zaman, warna kulit dan bangsa.

Setiap ayat yang terkandung di dalam mushaf agung ini dibukukan secara sistematik dan teratur, begitu mudah untuk diperoleh kerana terdapat ramai pemain industri yang menerbitkannya.

Kilang percetakan mushaf al-Quran terbesar dunia, King Fahd Complex for the Printing of the Holy Qur’an, Madinah di Arab Saudi adalah nama pemain industri gergasi yang mencetak 10 juta naskhah setahun untuk dieksport ke seluruh dunia.

Mengorak langkah bagi memartabatkan al-Quran, Malaysia pada Jun 2017 menerusi usaha Yayasan Restu membuka kilang penerbitan al-Quran kedua terbesar dunia, Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, kini mampu mengeluarkan lebih sejuta naskhah al-Quran setahun untuk kegunaan domestik dan antarabangsa.

Menariknya mengenai Kompleks Nasyrul Quran, mushaf yang diterbitkan bukan sekadar mencetak tetapi turut menyalin bagi menghasilkan manuskrip al-Quran sentuhan anak tempatan.

Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, penerbitan al-Quran di Yayasan Restu melalui proses kajian dan penyelidikan menyeluruh bagi menjadikan mushaf terbitan Malaysia mempunyai identiti tersendiri.

Bekas pensyarah bidang pendidikan itu juga menjelaskan, ekosistem penerbitan yang dilakukan Yayasan Restu bermula daripada proses menyalin untuk dijadikan manuskrip, memeriksa, membuat reka bentuk hiasan sehingga mencetaknya di kilang sendiri.

“Usaha Yayasan Restu untuk menyalin al-Quran ini bermula 30 tahun dahulu. Bagaimanapun, ketika itu kami tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk mencetaknya sendiri.

“Selepas berjaya mempunyai manuskrip hasil salinan dan mempunyai identiti tersendiri sehingga dieksport ke negara asing, baru kerajaan melihat kami sudah bersedia untuk mempunyai kilang percetakan sendiri. Akhirnya, pada 2017, Kompleks Nasyrul Quran berjaya dibangunkan dan menerbitkan mushaf al-Quran bersama buku berkaitan Quran dan hadis,” katanya.

Bagi proses menerbitkan al-Quran, Yayasan Restu mempunyai dua lokasi untuk beroperasi iaitu di Taman Kesenian Islam, Shah Alam dan di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Di Taman Kesenian Islam, proses menyalin Quran dilakukan oleh tujuh pakar penulis khat, lima daripadanya anak tempatan manakala dua lagi masing-masing dari Mesir dan India.

Penulis khat berkenaan mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni kaligrafi Islam yang bukan saja tahu menjadikan teks al-Quran itu cantik malah faham erti setiap patah perkataan yang disalin untuk dijadikan sebuah manuskrip.

Setakat ini, Yayasan Restu mempunyai 12 manuskrip yang disimpan rapi di dalam bilik kebal kerana usaha untuk menyalin mushaf al-Quran daripada penyalin, Othman Taha yang berasal dari Madinah itu bukan suatu kerja mudah.

Di ruang lain, terdapat satu bahagian khas yang menjadikan mushaf al-Quran diterbitkannya berbeza dengan penerbit lain iaitu reka bentuk hiasan yang turut diusahakan oleh pereka tempatan.

Abdul Latiff berkata, hiasan yang dihasilkan mempunyai erti tersendiri kerana warna dan bentuk yang menjadi bingkai pada setiap helaian mempunyai maksud berkaitan budaya, alam semula jadi serta mercu sesebuah tempat.

Beliau berkata, bagi menghasilkan hiasan itu, pihaknya mempunyai pasukan khas yang mengkaji secara khusus mengenai sesuatu tempat untuk mendapatkan reka bentuk dan warna yang diinginkan.

“Mushaf yang kami keluarkan bukan untuk diedarkan di Malaysia sahaja, malah luar negara. Jika di Malaysia kita akan melihat motif yang menggambarkan mengenai negara ini.

“Begitu juga dengan negara yang meminta kami untuk mengeksportnya seperti Kemboja, Nigeria dan Kazakhstan, pihak pengkaji akan melawat negara berkenaan untuk mengetahui motif yang menggambarkan identiti masing-masing,” katanya.

Setakat ini, tujuh negara iaitu Kemboja, Indonesia, Kazakhstan, Singapura, China, Palestin dan Nigeria mendapatkan mushaf al-Quran sentuhan Yayasan Restu.

Penulis juga dibawa masuk ke sebuah bilik sedikit terasing daripada tumpuan laluan orang ramai yang menempatkan kumpulan pemeriksa teks yang tugasnya memeriksa setiap patah perkataan salinan teks al-Quran oleh penulis khat.

Selain merujuk kepada mushaf sedia ada yang sudah diperakui kesahihannya, pemeriksa salinan itu juga adalah penghafaz al-Quran dan mereka perlu memeriksa setiap inci penulisan yang disiapkan oleh penulis antaranya jarak baris pada huruf.

Berbeza di kilang percetakan di Putrajaya, di situ hampir 90 peratus operasi menggunakan mesin yang bernilai jutaan ringgit dan selebihnya memerlukan ketajaman mata pekerja untuk memeriksa setiap helaian al-Quran yang sudah dijadikan mushaf.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 11:22am
d