nuansa

Tarian piring Selangor mengasyikkan [METROTV]

Oleh Zaitie Satibi

JALAN Ketam, Siau Anak Dara, Lenggang Mak Janda dan Lompat Gagak antara bunga tari yang dikenal pasti sebagai Tarian Piring Selangor menerusi penyelidikan dilakukan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Tarian piring dikatakan warisan kebudayaan masyarakat Minangkabau yang dibawa dari kepulauan Sumatera, Indonesia ke pantai barat Tanah Melayu bermula sekitar abad ke-12 Masihi.

Menariknya, tarian ini menampilkan gerakan seolah-olah petani sedang bercucuk tanam dan menuai padi. Ia dipersembahkan sebagai satu bentuk hiburan selepas penat membanting tulang, selain melambangkan rasa gembira dan syukur dengan hasil tanaman mereka.

Di Selangor, tarian ini berkembang di Jenderam Hilir, Sepang sekitar 1885 oleh masyarakat Minang yang merantau dari Sumatera. Tarian piring lazimnya dipersembahkan ketika majlis perkahwinan, sambutan meraikan pembesar dan majlis keraian lain.

Tarian Piring Selangor mempunyai 22 pergerakan yang membezakannya dengan tarian piring di Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Terengganu. Antara gerak tari yang menjadi ciri Tarian Piring Selangor seperti Helang Menyonsong Angin, Helang Berlegar Ke Depan dan Tupai Bergelut.

Dalam usaha memelihara tarian tradisional ini supaya terus menjadi satu daripada identiti negara selain demi kepentingan generasi akan datang, Tarian Piring Selangor ditampilkan sebagai persembahan wajib untuk kategori sekolah menengah dalam Ekspresi Tari Selangor 2019.

Pertandingan tarian tradisional anjran Padat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di Teater Shah Alam, baru-baru ini adalah inisiatif kerajaan negeri bagi merakyatkan kebudayaan serta warisan Selangor.

Pada masa sama program bagi menghidupkan Shah Alam sebagai kota seni di negeri berkenaan bertujuan mencungkil dan menggilap bakat baharu dalam bidang tarian tradisional.

Ia juga memberi peluang kepada golongan muda untuk menimba pengalaman mengadakan persembahan ke peringkat yang lebih tinggi di samping memupuk semangat cintakan kesenian dan kebudayaan khususnya yang bercirikan Selangor dalam kalangan pelapis baharu.

Ekspresi Tari Selangor kali pertama diadakan pada 2017 dengan 20 penyertaan. Pertandingan diadakan dua tahun sekali itu kali ini berjaya mengumpulkan 40 kumpulan kebudayaan yang bertanding untuk kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti serta terbuka.

Selain Tarian Piring Selangor, turut dipertandingkan tarian rampaian tradisional Melayu dan rampaian tradisional Melayu kreasi bagi sekolah rendah serta terbuka.

Majlis penutup pertandingan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Padat, Datuk Paiman Keromo.

Abdul Rashid berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan supaya agenda pembangunan kebudayaan dan kesenian terus diperkasa dan diberikan tumpuan setiap tahun.

“Hasrat dan penekanan berkenaan kepentingan aspek kebudayaan serta kesenian ini dibuktikan beberapa tahun lalu menerusi pengumuman Shah Alam sebagai kota seni.

“Sejak itu, kerajaan negeri menerusi agensi seperti Padat, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan jabatan lain sentiasa mengatur strategi bagi memastikan bandar raya ini terus hidup serta meriah dengan aktiviti kebudayaan selain kesenian,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah penyertaan termasuk yang datang dari luar Selangor memberi petunjuk yang baik dalam pembangunan bidang kebudayaan di Selangor. Malah, diharapkan pertandingan tarian tradisional ini dapat dijadikan platform kepada kerajaan negeri untuk mengetengahkan kumpulan kesenian Selangor yang berpotensi untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 8:33am
d