nuansa

Karya pelbagai ekspresi

Oleh Hafiz Ithnin

PUSAKA juga bukan hanya sekadar frasa, tetapi ia mampu memberikan nostalgia kepada seseorang.

Apabila diletakkan tema Pusaka dalam karya seni, semestinya mampu memberikan pelbagai ekspresi kepada seseorang artis untuk menggambarkannya di dalam sebuah persembahan.

Begitu juga dengan 12 karya seniman tempatan yang mengangkat tema pusaka di dalam sebuah persembahan karya artistik bertajuk PUSAKA: Warisan Kemudi Wawasan di Muzium dan Galeri Bank Negara.

Pameran yang berlangsung hingga 28 September ini membabitkan seniman Zulkifli Yusoff, Ahmad Fuad Osman, Bibi Chew, Hayati Mokhtar dan Dain Iskandar Said, Azizah Paiman, Sharmiza Abu Hassan, Chong Kim Chiew, Lisa Foo, Umaibaizurah Mahir @ Ismail, Haslin Ismail, Haris Abadi dan Jamil Zakaria.

Kuratornya, Siti Melorinda Khuzaina berkata, 12 seniman itu menampilkan pelbagai seni artistik dalam pelbagai skala seni yang bukan saja boleh dilihat tetapi mampu dirasai persembahan mereka.

Karya itu juga membawakan pelbagai ekspresi pusaka dalam pelbagai warisan yang dimiliki negara seperti di dalam bidang pendidikan, ekonomi, sukan, kesusasteraan dan alam semula jadi.

“Ada juga seniman yang mempersembahkan hasil seni mereka yang menceritakan mengenai rakyat dan pemerintah.

“Jadi, kepelbagaian persembahan seni yang membabitkan ekspresi seniman secara tersendiri mengenai pusaka dapat dilihat menerusi pameran kali ini.

“Meskipun terdapat sesuatu persembahan karya yang mungkin dilihat secara sekali imbas, ia hanya gelanggang atau bilik darjah namun seniman cuba memasukkan elemen lain untuk diterjemahkan pengunjung mengikut ekspresi masing-masing,” katanya.

Berada di pameran berkenaan memberikan pengalaman yang berbeza kepada penulis yang sebelum ini hanya mampu melihat sahaja sesuatu karya.

Dalam pameran ini, terdapat karya yang berbentuk interaktif bagi membolehkan pengunjung memahami erti di sebalik persembahan yang ditonjolkan oleh seniman.

Umpamanya, Karya Azizah yang bertajuk Menjejaki Kesah- Kesah Ekonomi Negara dipersembahkan dalam bentuk sebuah bilik darjah lengkap berkerusi dan meja kayu.

Pengunjung boleh duduk sambil mengimbau zaman persekolahan. Malah pengunjung juga boleh menekap dan menyurih kertas pada tanda-tanda yang terdapat di atas meja berkenaan untuk lebih memahami ekspresi yang disampaikan pengkarya.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 10:26am
d