nuansa

Bersih sungai catat rekod

Oleh Aniza Zainudin

TIGA gabungan komuniti setempat melancarkan Festival Pengenalan Sungai Kecil sebagai bukti kejayaan tindakan proaktif penduduk Taman Melawati memulihara dan menjaga kelestarian Sungai Klang.

Gabungan berkenaan membabitkan Society of Eco Greater Melawati, Friends of Sungai Klang Taman Melawati dan Persatuan Penduduk Taman Melawati Kuala Lumpur.

Pelancaran festival berkenaan juga mencatatkan rekod kebangsaan mengenai aktiviti gotong-royong, ‘River Three’ selama 52 minggu berturut-turut bermula 4 Ogos tahun lalu.

Program pemuliharaan sungai yang dinamakan ‘River Three’ ini dilaksanakan bagi menangani keperluan untuk memelihara warisan khazanah alam sekitar.

Menerusi program ini, komuniti setempat memikul tanggungjawab untuk membina dan memacu kaedah pemuliharaan sungai dengan lebih efektif.

Pengasas Friends of Rivers, Mansor Ghani berkata usaha pemuliharaan bersama menjadikan inisiatif dijalankan lebih mampan dan berkesan.

“Setiap ahli komuniti mempunyai peranan dan kepentingan dalam program pemuliharaan ini bagi memastikan sungai sentiasa bersih.

“Melalui program ‘River Three’ ini, kami membangunkan konsep taman, komuniti dan ekonomi sungai.

“Harapan kami, idea dan usaha ini turut dilakukan di sepanjang Sungai Klang dari Empangan Klang Gate hingga ke Pelabuhan Klang, malah ia juga boleh diaplikasi di sungai-sungai bandar.

“Pada masa sama, kami mengalu-alukan usaha dilakukan kerajaan negeri apabila membentuk Jawatankuasa Pelaksana Pemuliharaan Sungai-sungai di Selangor.

“Kita juga gembira apabila melihat penyertaan komuniti, organisasi dan sekolah yang ingin menjalinkan kerjasama dengan kita bagi melakukan tanggungjawab sosial korporat,” katanya dalam satu kenyataan.

Program ‘River Three’ menyaksikan kerjasama antara masyarakat dalam mengekalkan kebersihan laluan, taman sungai dan taman komuniti berhampiran sungai.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 10:51am
d