nuansa

Tsunami masih menghantui

Oleh Aniza Zainudin

TSUNAMI setinggi 10 meter yang terhasil daripada bencana gempa bumi dengan kekuatan 7.4 magnitud melanda Palu dan kawasan sekitar di Sulawesi Tengah pada 28 September tahun lalu masih meninggalkan impak besar terhadap penduduk tempatan terutama kanak-kanak.

Ini terbukti dengan kenyataan si kecil, Halik, yang usianya hanya mencecah 12 tahun menyatakan “Enggak (Tidak) tahu juga, kalau panjang umur” apabila ditanya mengenai cita-citanya oleh sukarelawan Global Islamic Students Outreach (GISO).

Menjejaki dan mendalami kesusahan masyarakat Palu, GISO yang terdiri daripada pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakukan pengembaraan misi kemanusiaan pertama, baru-baru ini.

Menginap di perkampungan Lere, sukarelawan, Ahmad Taqiyuddin Mohd Anas mengakui kebanyakan penduduk tidak mempunyai rumah tetap untuk dijadikan tempat tinggal.

“Mereka menetap dalam rumah kayu berukuran 10 x 20 kaki (3 x 6 meter) dengan satu ruang depan, tengah dan stor yang beratapkan zink. Namun mereka bersyukur dengan apa yang dimiliki.

“Memahami kesan psikologi dialami kanak-kanak, kami mengambil peluang melakukan aktiviti seperti pertandingan mewarna, membuat origami dan pertukaran bahasa antara bahasa tempatan, bahasa Kaili, bahasa Malaysia dan dialek Kelantan.

“Mereka sangat seronok dan aktif sepanjang program diadakan. Pada masa sama, kami juga mencuri masa untuk beramah mesra dengan kanak-kanak ini, di samping menyelami isi hati mereka.

“Saya sempat berbual dengan Halik mengenai cita-cita dewasa masa depan. Jawapan yang diterima agak mengejutkan apabila dia enggan membayangkan apa-apa impian selain daripada mengenang kematian.

“Ia membuatkan saya dan rakan lain berasa kerdil. Mereka diuji dengan pelbagai cabaran dan peka dengan ajal berbanding masyarakat kita yang hidup dalam zon selesa selain sentiasa memikirkan cara untuk memajukan diri dari segi lahiriah saja,” katanya.

Kesempatan yang sama, Ahmad Taqiyuddin turut berkongsi cerita mengenai kekuatan anak gadis berusia 15 tahun, Masta, yang selamat dalam bencana berkenaan.

Berdasarkan penceritaan Masta, ketika kejadian berlaku dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib di Masjid Apung Palu, namun hasratnya tergendala apabila tsunami berlaku dan gagal menyelamatkan diri bahkan sepupunya, Mei, 11, yang turut bersamanya.

Sebaik berakhir, remaja ini menyedari dirinya berada dalam sampan dan badannya ditindih dengan serpihan bangunan dan motosikal.

Akui Masta, hingga kini dia masih berasa takut untuk tidur gara-gara bimbang bencana sama kembali lagi.

Meneruskan pengembaraan, menurut Ahmad Taqiyuddin, mereka berpeluang menziarahi penduduk yang tinggal dalam khemah di sekitar Masjid Agung Darussalam untuk menyerahkan kit penjagaan diri dan pakaian.

Ceritanya, kehidupan mangsa jauh lebih daif berbanding komuniti di Lere apabila semua mangsa berlindung di bawah tenda putih bersama keluarga masing-masing sejak sembilan bulan lalu dan masih mengharapkan bantuan makanan untuk meneruskan hari mereka.

Selain itu, GISO turut berkunjung ke Balarao, perkampungan di tengah desa dan tempat berlakunya ‘likuifaksi’ atau pencairan tanah yang juga

fenomena pergerakan tanah mencair. Difahamkan semua rumah dan penduduk ditelan bumi, hanya segelintir penduduk terselamat.

Proses penyerahan tangki air turut dilakukan di pusat penempatan di Balaroa yang menempatkan lebih kurang 300 keluarga, sebelum ke Posko Tondo bagi aktiviti bersama kanak-kanak dari Tadika Hatiku Senang.

Kembara misi kemanusiaan ini terdiri daripada dua pensyarah dan 11 mahasiswa mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Malaysia Relief Agency dan dari Indonesia, Aksi Insan Nusantara (AIN Foundation).

GISO berjaya mengumpul dana sebanyak RM30,000 dalam tempoh seminggu menerusi aktiviti jualan, pendidikan dan keprihatinan masyarakat tempatan.

Pasukan ini membawa amanah untuk diserahkan sumbangan kepada sebuah surau dan rumah, 22 tangki air serta 200 pek makanan pada mangsa terselamat.

Disiarkan pada: August 14, 2019 @ 10:58am
d