nuansa

Larian peka diabetes

Oleh Helmy Abd Rahman

PENGANJURAN tahun ketiga program larian Run From Diabetes ternyata lebih istimewa dan bersejarah berbanding edisi sebelumnya apabila peserta berpeluang berlari melintasi jambatan angkat atau drawbridge Terengganu.

Ia adalah acara larian kali pertama di jambatan ikonik itu dan disertai kira-kira 2,000 peserta.

Paling menarik, ramai dalam kalangan peserta mengenakan pelbagai busana unik antaranya watak seperti dalam filem dan permainan video.

Acara tahunan anjuran Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) itu juga berjaya menarik peserta daripada pelbagai peringkat usia dari dalam dan luar negara.

Larian itu bermula dari Pasarnita Tanjung dan melintasi Jambatan drawbridge ke Kuala Nerus sebelum berakhir semula di Pasarnita di Kuala Terengganu.

Pengarah Perubatan KTS, Dr Mohamad Yusof Md Kassim berkata, acara kali ini terbahagi kepada empat kategori iaitu 3 kilometer (km), 5km dan 10km serta larian korporat.

Katanya, antara objektif utama program berkenaan adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan penyakit kencing manis dan mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah secara santai.

“Kesedaran mengenai bahaya penyakit seperti kencing manis ini tidak hanya dapat dilakukan di dalam hospital malah mendapat capaian yang lebih tinggi jika dilakukan dengan bantuan masyarakat.

“Sempena Bulan Kebangsaan ini, kita menuju ke arah Malaysia yang lebih sihat. Untuk menyayangi Malaysia, kita harus menyayangi diri sendiri dahulu.

“Satu daripada caranya ialah dengan mengamalkan gaya hidup lebih sihat. Kami sangat teruja apabila mendapat penyertaan yang amat memberangsangkan,” katanya selepas merasmikan program itu di Kuala Terengganu, minggu lalu.

Selain acara larian berkenaan, pelbagai aktiviti keluarga diadakan antaranya pertandingan beyblade, mewarna, cabutan bertuah, derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pasukan medik KTS.

Drawbridge yang juga jambatan angkat pertama di Asia Tenggara mula dibuka secara rasmi kepada orang awam pada jam 6 pagi, 1 Ogos lalu.

Jambatan ikonik bernilai RM248 juta itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sebelum ini, jambatan berkenaan dibuka untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun lalu sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 10:39am
d