nuansa

Kemahiran 'mak artis' pikat pengunjung

Oleh Helmy Abd Rahman

Uniknya warga emas ini bukan hanya pada nama kerana dia juga mempunyai kebolehan yang mungkin tidak ramai dimiliki orang sama usia dengannya.

Meskipun usianya kini mencecah 74 tahun, bakat, kemampuan dan kemahiran yang ditunjukkan Hitam Taib ketika ‘menghayun’ berus bagi mewarna batik setanding orang muda.

Hitam boleh disifatkan istimewa kerana hanya mula belajar mewarna batik ketika usia sudah lanjut.

Pembabitannya dalam seni mewarna batik bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila dia menyatakan minat untuk mendalami ilmu mewarna kepada anaknya, Noor Hayati Said, 46, yang mempunyai bengkel batik di Kampung Kubang Machang, Kepong, Kuala Terengganu.

Menurut Noor Hayati, ibunya itu cepat belajar dan kini mampu mewarna batik pada kualiti bermutu tinggi.

“Mulanya mak (Hitam) kata dia puas duduk saja (bosan tidak melakukan apa-apa) dan dia selalu datang ke bengkel pembuatan batik milik saya dan suami.

“Tidak lama selepas itu dia mula menunjukkan minat dan mahu belajar mewarna bagi mengisi masa lapang.

“Apa yang menakjubkan, dia masih boleh mewarna dengan sangat baik, mata dia ‘cerah’ lagi macam orang muda,” katanya.

Noor Hayati berkata, ibunya juga ibarat selebriti apabila ramai pelanggan dan pengunjung yang ingin merakam gambar dengannya setiap kali mereka datang ke kedainya itu.

“Memang orang (pengunjung) suka sangat ambil gambar dengan dia dan kami di sini selalu bergurau memanggil mak artis,” katanya.

Menurut Noor Hayati, seni mewarna batik sememangnya boleh dikatakan sudah sebati dengan ibunya yang menunjukkan minat mendalam dan tidak segan untuk terus belajar mewarna.

“Memang dia minat sangat dengan kerja mewarna. Walaupun menghidap kencing manis dan kadangkala diserang asma, mak tetap akan turun ke bengkel selagi kesihatannya mengizinkan.

“Bagaimanapun, mak bukanlah pekerja saya, cuma datang membantu untuk menghilangkan kebosanannya,” katanya yang memulakan perniagaan itu bersama suami, Mohd Salleh Abu Bakar, 47, sejak 27 tahun lalu.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 9:29am
d