nuansa

Suasana lebih kondusif

Oleh Zaitie Satibi

SYARIKAT telekomunikasi berpusatkan data, U Mobile bersama agensi pembangunan belia dan inovasi sosial di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Impact Malaysia memperkenalkan inisiatif seni mural berskala besar di gelanggang bola keranjang, bola tampar serta sepak takraw di Spacerubix, Puchong, Selangor.

Menerusi kempen ini yang turut membuka tirai kempen Unlimited Moves yang memaparkan gandingan antara U Mobile dan Impact Malaysia memberi sentuhan bernilai seni kepada ruangan yang berasaskan komuniti belia di seluruh Malaysia.

Selain menyuntik seni jalanan pada gelanggang aktiviti sukan di Spacerubix, U Mobile juga akan membekalkan sambungan Internet selari dengan usaha untuk mempertingkatkan pengalaman pembangunan komuniti belia.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, program itu menunjukkan dedikasi pihaknya terhadap belia yang menitikberatkan kepada pembangunan komuniti.

“Kempen Unlimited Moves U Mobile memberikan fokus kepada penyediaan akses dan sokongan kepada golongan belia bagi merealisasikan potensi sebenar mereka, baik dalam sukan mahupun usaha pembangunan komuniti.

“Kami berharap seni jalanan di gelanggang ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak usaha pembangunan komuniti belia.

“Ini kerana, gelanggang berkenaan menjadi lebih kondusif dan digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk pasar hujung minggu dan konsert muzik selepas menerima sentuhan kesenian daripada U Mobile,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir berkata, pihaknya berbesar hati kerana berpeluang melaksanakan tanggungjawab untuk menyokong bakat dan komuniti belia di tanah air.

“Kami turut berharap supaya lebih ramai belia menggunakan gelanggang sukan yang diberi nafas baru ini untuk menjalankan pelbagai aktiviti sukan mahupun acara yang menyerlahkan idea dan impian mereka.

“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan pembangunan bakat belia dalam sukan, tetapi memupuk pemikiran ke arah pembangunan komuniti. Program ini juga tidak berlaku sekali saja, sebaliknya akan dijalankan di beberapa pusat komuniti belia lain yang terpilih di seluruh Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 7:13am
d