nuansa

Kampung Pilah Tengah hab usahawan

Oleh Amran Yahya

Kampung Pilah Tengah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan bakal muncul sebagai hab usahawan desa menjelang 2020.

Ketua Biro Ekonomi dan Keusahawanan Kampung Pilah Tengah Zulkifli Mohd Hashim berkata, hingga kini kampung berkenaan melahirkan 35 usahawan berjaya yang merangkumi pelbagai bidang.

“Antara usahawan yang dilahirkan di kampung ini membabitkan bidang dagangan, ternakan, pertanian, makanan, peruncitan dan pemasaran dalam

talian.

“Selain itu, 27 lagi usahawan asnaf bakal dilahirkan apabila mereka turut hadir pada program ini untuk menimba ilmu dan mula berjinak-jinak dengan dunia usahawan.“ Asnaf ini juga adalah individu yang terpilih kerana kegigihan mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, berazam dan cuba berdikari dengan bantuan serta menjadikan usahawan berjaya sebagai mentor mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Keusahawanan dan Pembentukan Sahsiah Antara Pemimpin dan Komuniti di Balai Raya Kampung Pilah Tengah, minggu lalu.

Program dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith.

Hadir sama Penghulu Mukim Pilah, Mohd Fauzi Mohd Isa dan Pengerusi Majlis Perwakilan Pengerusi Kampung (MPKK) Kampung Pilah Tengah, Zainan Ibrahim.

Tambah Zulkifli, lima ahli panel turut di undang daripada pelbagai agensi untuk memberi penerangan dan bimbingan kepada usahawan serta bakal usahawan.

“Antara agensi yang hadir adalah dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Agro Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan Lembaga Industri Nanas.

Sementara itu seorang usahawan berjaya, Ahmad Fadzil Othman, 50, berkata, program seumpama ini sudah tentu memberi manfaat kepada semua pihak termasuk usahawan dan bakal usahawan.

“Bimbingan sebelum memulakan sesuatu perniagaan itu sangat penting kerana dengan adanya ilmu membolehkan seseorang itu mempersiapkan dirinya sebelum bergelar usahawan.

“Saya adalah usahawan ternakan landak raya sejak tiga tahun lalu dan alhamdulillah, kini bilangan landak saya melebihi 40 ekor.

“Konsep perniagaan saya hanya menjual baka landak raya dengan harga antara RM3,000 hingga RM3,500 sepasang di samping memberi bantuan dan bimbingan kepada mereka yang berminat untuk memulakan ternakan haiwan itu.

“Insya-Allah, jika diizinkan satu hari nanti saya akan cuba melebarkan perniagaan saya kepada usahawan daging landak pula,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 11:29am
d