nuansa

Agihan susu dua kali sebulan

Oleh Nurul Husna Mahmud

SEKURANG-kurangnya dua kali sebulan agihan susu dilakukan membabitkan lapan blok Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Pantai Kuala Lumpur yang menyasarkan sekurang-kurangnya 600 penerima.

Susu yang diagihkan itu adalah sumbangan syarikat kesihatan berasaskan tenusu dalam menyokong usaha murni Persatuan Kebajikan Sukarelawan Komuniti Kuala Lumpur kepada kepada komuniti PPR.

Menurut sukarelawan PPR Sri Pantai Blok 100 dan 102, Zuriani Hashim, bukan sekadar susu, malah pihaknya turut membantu mengagihkan pelbagai barangan keperluan harian yang diterima daripada

orang perseorangan atau korporat.

“Di blok kami sahaja ada lebih 100 keluarga terdiri daripada ibu tunggal, warga emas daif dan uzur serta asnaf yang memerlukan pelbagai bantuan setiap hari. Namun, jumlah bantuan diterima kadang-kala tidak mencukupi dan terpaksa melakukan agihan secara giliran.

“Tetapi untuk agihan susu ini terbuka kepada semua kerana tidak eksklusif untuk golongan sasaran semata-mata. Ketika ini keperluan yang mendesak ialah barangan dapur seperti beras, minyak,

tepung selain susu dan lampin kerana ada segelintir keluarga terutama ibu tunggal menghadapi masalah terputus bekalan.

“Sedihnya ada yang menemui kami apabila tidak sanggup melihat anak-anak mengikat perut,” katanya yang juga mengharapkan lebih banyak pihak menyumbang kepada bekalan barangan harian.

Bagi wakil sukarelawan PPR Kerinchi Jasvinder Kaur, meskipun sumbangan itu dilihat kecil,

penduduk sangat menghargainya.

“Sekecil-kecil sumbangan seperti sekotak susu hinggalah pelbagai barangan harian termasuk barangan basah diagihkan kepada penduduk. Pada mata pihak luar mungkin sumbangan kami ini kecil sahaja tetapi bagi golongan berpendapatan rendah di PPR, ia sangat membantu.

“Saya berharap lebih banyak pihak dapat menyumbang kepada persatuan agar lebih banyak barang keperluan dapat diberi kepada golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, setiausaha persatuan Manivannan Letchumanan berkata, pengagihan bantuan menerusi persatuannya bersandarkan prinsip telus dan tiada diskriminasi.

Ini kerana golongan sasaran melangkaui bangsa dan agama apabila barisan sukarelawan yang menjalankan kerja kemasyarakatan itu turut diwakili pelbagai kaum.

“Menerusi komuniti ini, pelbagai kaum membantu antara satu sama lain dalam setiap agihan barang. Selain agihan susu, kami juga mengagihkan barang dapur sehinggalah kepada bekalan bahan basah seperti sayur dan ayam.

“Bantuan bermusim pula seperti agihan wang zakat kepada asnaf Muslim turut dijalankan. Meskipun saya bukanlah Muslim, tetapi turut membantu dalam agihan wang berkenaan yang diterima daripada individu perseorangan,” katanya.

Pihaknya berharap lebih ramai memberi sumbangan pelbagai barangan mahupun wang ringgit dalam membantu lebih 600 keluarga yang memerlukan. Bagi yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi persatuan menerusi FB Manivannan Letchumanan.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 9:10am
d