nuansa

Pesona 3 arca awam

Oleh Helmy Abd Rahman

Sesiapa jua yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni bina, seni halus dan grafik seperti penulis, pasti mudah rasa terkait setiap kali bersua karya seni yang bijak bermain dengan bentuk geometri serta pandai memanipulasikan ruang.

Apatah lagi andai karya dihasilkan mampu membawa mesej yang mudah dimengertikan khalayak sekali gus mendidik masyarakat supaya lebih menghargai dan mengenal erti seni.

Maka, tiga arca awam dan karya seni instalasi yang dipamerkan sempena program ‘Art In The City’ edisi kedua berhampiran tapak ‘River of Life’ ini mudah mengundang ‘selera’ penulis.

Tidaklah menghairankan apabila dua daripada tiga seniman berkenaan sememangnya pernah dan sedang terbabit secara langsung dalam bidang seni bina serta rekaan dalaman.

Karya terbabit terdiri daripada Wayang Tube yang dihasilkan Filamen iaitu idea gabungan beberapa seniman, arca Entwine oleh Joshua Teo, anak muda kelahiran Kuching, Sarawak yang pernah terlatih sebagai pereka dalaman dan Dome of Disappearance oleh Pamela Tan, seorang pereka seni bina berasal dari ibu kota.

Wayang Tube

Wayang Tube diinspirasikan daripada alat pemain muzik zaman silam iaitu gramafon. Ia gabungan elemen lama dan baharu menerusi seni visual dan muzik, pada masa sama mengekalkan konsep komuniti serta perpaduan.

Karya ini menggunakan paip PVC yang diintegrasikan dengan salur LED, projektor, pembesar suara mudah alih, layar unjuran sementara dan logam. Berbentuk seperti gramafon yang mewakili era masa lalu yang kini semakin dilupai susulan pergerakan dan perkembangan pantas teknologi serta saiz peranti yang kini kian mengecil.

Gramafon juga mewakili komuniti apabila pendengar biasanya berkumpul untuk mendengar dan menjiwai muzik daripada piring hitam. Paip PVC yang digunakan sebagai antara material, menceritakan kesan buruk disebabkan sistem pengurusan sisa yang lemah di bandar raya ini.

Entwine

Entwine adalah arca dua bentuk yang digabungkan menjadi satu. Diinspirasikan daripada pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di tengah-tengah Kuala Lumpur, medium arca ini diperbuat daripada jubin plastik, cat arkrilik dan logam.

Penggunaan bahan ini demi untuk menekankan masalah sistem pengurusan sisa di Kuala Lumpur apabila plastik menjadi antara penyumbang terbesar di banjir kilat di ibu kota.

Dome of Disappearance

Instalasi ini mempunyai tiga tujuan iaitu kolombarium atau ruangan khas yang menceritakan mengenai arkib memori dan tapak yang semakin dilupai di Kuala Lumpur; rumah selamat yang bermaksud pembangunan dan perkongsian masyarakat serta tindak balas yang bererti mencelarukan persepsi dan estetik kebudayaan biasa dengan harapan untuk memupuk dialog bermakna.

Menggunakan medium daripada panel plastik kitar semula, cat arkrilik dan logam, struktur arca ini dihasilkan daripada logam dipotong menggunakan cahaya laser serta diselaraskan dengan benang kapas.

Bentuk keseluruhannya menyarankan sesuatu yang rapuh dan hampir dilupakan, serupa dengan bandar raya ini apabila sering berubah-ubah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana), Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, edisi kedua Art In The City Kuala Lumpur bertemakan ‘I heART KL’ ini berlangsung selama 10 hari.

“Acara ini menyajikan pelbagai program menarik iaitu tiga instalasi seni daripada seniman tempatan, pertandingan video, Lucky Pao Market, forum dan bengkel seni selain aktiviti sampingan bertujuan meraikan kepelbagaian seni, kreativiti, belas ihsan dan imaginasi rakyat negara ini.

“Ia diadakan di River of Life yang dinamakan sedemikian kerana persamaannya dengan arteri yang membawa darah dan nyawa bagi Kuala Lumpur. Karya ini seharusnya menyedarkan kita mengenai isu penting pada masa ini iaitu untuk menjaga sungai kita.

“Walaupun ibu kota Kuala Lumpur ditakrifkan warganya dan tempat tinggal mereka, bandar raya ini tidak dapat berevolusi serta menarik minat pedagang air tanpa sungai yang ada.

“Seniman yang terpilih untuk terbabit dalam pameran tahun ini tertarik kepada River of Life kerana ia mempunyai semangat sama yang menarik penduduk awal untuk meneroka Kuala Lumpur.

“Pemilihan karya berkait rapat dengan pemahaman betapa pentingnya sungai dalam kehidupan kita,” jelasnya.

Katanya, program anjuran Cendana bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini berlangsung sejak 18 hingga 27 Oktober ini.

“Art In The City juga menganjurkan pertandingan video yang hasil kerja lapan peserta ditayangkan di Lucky Pao Market, Jalan Raja di tengah bandar raya.

“Di Lucky Pao Market juga pengunjung dihiburkan dengan persembahan muzik daripada beberapa artis tempatan antaranya Kyoto Protocol, Johny Comes Lately, Bizhu dan The Nadir Music Collective.

“Bazar Seni Kreatif yang diadakan di lokasi sama mengetengahkan landskap sejarah Kuala Lumpur mulai jam 5 petang hingga 11 malam bermula 19 Oktober lalu,” tambahnya.

Acara berkenaan dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, Sabtu lalu.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 9:11am
d