nuansa

Kenali keunikan masyarakat peribumi

Oleh Zaitie Satibi

NEGARA kita kaya dengan budaya dan adat resam berbeza. Seperti masyarakat lain, Orang Asli juga mempunyai budaya, adat resam, bahasa dan perayaan tersendiri.

Orang Asli adalah satu entiti masyarakat Malaysia yang tersebar di seluruh negara di semenanjung kecuali Perlis dan Pulau Pinang. Masyarakat ini boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu Melayu Proto, Senoi dan Negrito serta terdapat enam suku Orang Asli bagi setiap kumpulan utama berkenaan.

Suku berkenaan adalah Mendriq, Lanoh, Kensiu, Bateq, Kintaq, Orang Kanaq, Orang Seletar, Temuan, Semelai, Orang Laut, Jahai, Jakun, Jah Hut, Temiar, Mah Meri, Semai, Che Wong dan Semoq Beri.

Bagi mengekalkan dan memelihara warisan adat budaya dan kesenian Orang Asli supaya tidak ditelan arus kemodenan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menerusi ketua pengarahnya yang ke-4 menubuhkan Muzium Orang Asli di Kilometer 24, Jalan Pahang Lama Gombak, Gombak, Selangor pada 1987.

Muzium berhampiran perkampungan Orang Asli itu pada awalnya adalah rumah kediaman rasmi bekas Ketua Pengarah Jakoa sebelum digantikan dengan bangunan baharu pada akhir Rancangan Malaysia Ke-6 dan dibuka semula kepada orang ramai pada 2000.

Ia ditubuhkan bertujuan mengumpul, mencatat, merakam dan mempamerkan cara hidup masa lampau Orang Asli. Selain menyimpan bahan sejarah, muzium ini turut menjaga segala artifak atau peralatan yang berkaitan cara hidup dan sosiobudaya Orang Asli untuk tatapan generasi akan datang.

Biarpun lokasi muzium ini agak jauh sedikit dari bandar raya Kuala Lumpur iaitu kira-kira 20 kilometer, ia tetap menjadi pilihan pelancong dan pengunjung tempatan bagi mengenali lebih dekat keunikan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Ketua Unit Muzium Orang Asli, Suhaimi Osman berkata, muzium dua tingkat itu menempatkan sebilangan koleksi artifak, replika, gambar dan beberapa catatan yang menceritakan mengenai kehidupan dan budaya masyarakat Orang Asli.

“Pameran dibahagikan kepada sembilan segmen membabitkan peralatan muzik, perhiasan diri, pakaian, seni ukir dan kraf tangan, peralatan memburu, adat perkahwinan serta kepercayaan. Malah terdapat sudut untuk Senoi Praaq dan penghayatan kemajuan Orang Asli.

“Sudut Senoi Praaq menceritakan sejarah penubuhan Pasukan Polis Hutan (PPH) yang sebilangan besarnya terdiri daripada Orang Asli. Pasukan ini yang ditubuhkan pada 1957 dan memberi sumbangan besar terutama ketika zaman darurat negara berdepan ancaman komunis,” katanya.

Selain pameran, pelancong dan pengunjung terutama berkumpulan turut disajikan dengan persembahan Sewang dari suku kaum Semai yang menggabungkan elemen tarian dan nyanyian.

Sewang diadakan bagi tujuan perubatan dan turut merangkumi unsur semangat dan upacara, bagaimanapun ia kini diolah semula bagi tujuan persembahan dan hiburan semata. Penari akan membentuk bulatan semasa persembahan diadakan dan biasanya diiringi paluan alat muzik seperti ketukan buluh.

“Tahun ini saja sehingga Oktober lalu, muzium ini mencatat kunjungan lebih 5,000 pelancong asing dan lebih 2,000 pengunjung tempatan. Mereka turut dijamu makanan tradisional seperti keledek dan keladi dimasak dalam buluh, lauk ikan keli juga dimasak dalam buluh dan minuman daun misai kucing,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 8:35am
d