nuansa

Tingkat kemahiran, pengetahuan kerja

Oleh Suliati Asri

HABIB Learning Sdn Bhd (Habib Learning) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) di bawah Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kerja dalam sektor pengurusan perniagaan dan sumber manusia.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, menerusi kerjasama itu, Habib Learning dapat berkongsi pengetahuan praktikal dalam industri manakala UUM pula menyediakan bantuan penyelidikan dan amalan terbaik.

“Kerjasama ini cukup penting kepada Kumpulan Habib terutama dalam pembangunan sumber manusia selain ia sebahagian daripada budaya kerana pendidikan dan pembelajaran juga kunci pembangunan peribadi.

“Menerusi Habib Learning ini, kami membangunkan budaya pembelajaran dengan lebih meluas manakala urusan pensijilan yang diakreditasi UUM juga sangat bermanfaat untuk syarikat dan program luar yang dianjurkan kerana setiap peserta program Habib Learning akan mendapat sijil diiktiraf.

“Bermakna sesiapa yang mengikuti kursus Habib Learning, mereka akan mendapat sijil yang disokong oleh UUM,”

katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

MoU itu ditandatangani Ketua Habib Learning, Anuprakash Regunathen dan Pengurus Besar UECSB, Prof Madya Dr Halim Mad Lazim. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UUM yang juga ahli Lembaga Pengarang UECSB, Profesor Dr Yusnidah Ibrahim.

Meer Sadik berkata, sebelum ini pihaknya menyediakan latihan industri kepada peserta bagi menilai, menguji emas dan berlian yang juga salah satu kemahiran yang menjadi fokusnya.

“Inisiatif ini secara tidak langsung bertujuan mendedahkan graduan kepada kerja korporat yang sebenar dan melatih pekerja Habib bagi mencapai potensi mereka.

“Menerusi MoU ini juga, Habib Learning dan UECSB akan bekerjasama melalui program pendidikan jarak jauh, kursus jangka pendek dan panjang serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kerja warga kerja dalam sektor sasaran seperti bidang pengurusan perniagaan dan sumber manusia,” katanya.

Antara program yang dijalankan Habib Learning kini adalah Gradute Excellence Managment School Program (GEMS) bertujuan memberi pendedahan kepada graduan mengenai kehidupan sebenar kerja korporat.

Program itu secara tidak langsung membolehkan graduan bersiap sedia menempuh pasaran kerja yang sebenar menerusi program dirancang teliti untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan perniagaan keseluruhan.

Sementara itu, Halim berkata, kerjasama dengan jenama Habib adalah permulaan dalam industri pendidikan dan berpotensi untuk dikembangkan lebih jauh termasuk ke negara jiran.

Katanya, pihaknya sedang membincangkan untuk melaksanakannya di 13 pusat pembelajaran UUM di seluruh negara bagi membolehkan kerjasama itu meneroka pasaran di luar Kuala Lumpur selain meninjau mengembangkan latihan ini ke negara jiran dengan meninjau perluasan ke Medan, Indonesia dan pembukaan pusat latihan di Kemboja.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 9:54am
d