nuansa

400 kod QR hiasi lantai, dinding

Oleh Aniza Zainudin

MENGAPLIKASIKAN teknologi kod QR (Quick Response Code) ke dalam teknik pengajaran seni halus demi menarik minat pelajar memahami satu-satu karya, antara seni unik menjadi tarikan pameran Minta Perhatian: Media Baharu.

Sebanyak 400 kod QR digunakan bagi menghiasi lantai dan dinding ruang pameran menyerlahkan karya dihasilkan artis, Liew Ting Chuang bertajuk ‘Wheel of Fortune:Abyss of Malaysian Landscape.’

Menurut pensyarah ini, karya berkenaan dihasilkan pada 2013 bagi membantu pelajar menghayati karya seni halus di peringkat sekolah tinggi swasta.

“Ketika menjadi guru di sekolah swasta di Kelantan, saya mengajar subjek seni halus kepada pelajar berusia antara 17 hingga 18 tahun.

“Kebanyakan pelajar tidak tahu untuk menghayati, memahami dan menganalisis sesebuah karya.

“Oleh itu, saya membuat kajian menggunakan kaedah analisis yang dibahagikan kepada beberapa lapisan seperti genre, stail, medium dan subjek.

“Berdasarkan lapisan itu, 20 pelajar membuat analisis dan dipantau semula oleh saya serta seorang pembantu untuk menghasilkan kod QR.

“Apabila kod QR ini diimbas menerusi aplikasinya, secara langsung ia akan membawa kita terus kepada karya koleksi dari Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia.

Dalam menggabungkan pendidikan dan seni dalam satu karya inovatif, kata Liew, kaedah pembelajaran secara dalam talian ini mampu menarik perhatian pelajar.

Jelasnya, karya ini menghubungkan ruang fizikal dan maya untuk mencipta karya pemasangan interaktif sebagai alat pembelajaran seni halus bagi mereka yang baru berjinak dalam bidang ini.

Kata Liew, kaedah ini boleh digunakan bagi pembelajaran bidang berlainan.

Berbanding teknik penghasilan esei untuk proses menganalisis, teknologi kod QR yang membawa kepada huraian karya atau data melalui info grafik menjadi lebih mudah, jelas dan menarik.

Pameran Minta Perhatian: Media Baharu menampilkan karya ciptaan artis media baharu daripada pelbagai latar belakang yang dipilih dari Koleksi Negara.

Ia juga sebagai platform untuk membicarakan perihal seni media, mencari keseimbangan antara ekspresi seni dan kajian teoritikal.

Berlangsung sejak 1 Oktober hingga 31 Mac 2020, pameran ini turut menampilkan 34 karya termasuk ‘The Smilling Van Gogh and gauguin Interactive Computer Art’, siri Velis Nurbaya dan ‘Proclaim Series’ (Hasnul Jamal Saidon), Penghargaan Untuk Bapak (Kamarudzaman Md Isa) dan siri ‘Human and Technology Stop Violence’ (Mohd Al Khuzairie Ali).

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 10:06am
d