nuansa

Ekspresi ikatan kasih sayang

Oleh Helmy Abd Rahman

IKATAN kasih sayang antara diri pemuda ini dan ibunya yang diterjemahkan dalam bentuk lukisan ternyata membawa tuah kepada Muhammad Aqmar Dini Omar apabila karyanya terpilih memenangi tempat pertama bagi kategori cat minyak dan akrilik dalam Pertandingan Seni Warisan Usaha Tegas 2019, baru-baru ini.

Menerusi karya bertajuk Ikatan Kasih, Muhammad Aqmar, 23, mempersembahkan lukisan tautan kain songket yang disemat kerongsang.

“Ikatan atau tautan kain songket dalam lukisan ini melambangkan hubungan dan ikatan rapat antara saya dengan ibu (Norhayati Nayan, 47). Saya mendapat inspirasi menghasilkan lukisan ini apabila terkenang memori pada setiap sambutan hari raya apabila ibu sentiasa menyedia dan mempersiapkan kain songket untuk ahli keluarga lelaki.

“Kerongsang itu pula memang milik ibu dan dalam lukisan ini saya gambarkan ia (kerongsang) menjadi pengikat beberapa helai kain songket bermakna, ibu menjadi pengikat kasih antara kami sekeluarga,” jelas penuntut tahun akhir jurusan seni di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor ini.

Mengulas mengenai pertandingan berkenaan, Muhammad Aqmar berkata, ia satu usaha murni untuk mempertahankan kebudayaan di Malaysia dan pada masa sama menjadi landasan yang baik untuk seniman muda mempamerkan karya masing-masing.

Edisi kali ke-20 pertandingan ini merekodkan penyertaan menggalakkan daripada penuntut di 27 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Bertemakan ‘Ekspresi Tanpa Batas Masa’ (A Timeless Expression) pertandingan kali ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu lukisan cat minyak/arkrilik; arang/pensil/dakwat; medium campuran; seni cetak dan cat air.

Ketua juri, Parama Nathan berkata, kualiti karya peserta yang dipertandingkan untuk tahun ini lebih jitu berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan (Aset Persendirian dan Amanah) Usaha Tegas Sdn Bhd (UTSB), Sivam Kandavanam dalam ucapan perasmiannya berkata, pertandingan yang saban tahun diadakan itu bukan saja berjaya menemukan seniman muda berbakat besar, malah dapat menyegarkan kembali ingatan kepada aspek seni warisan daripada rakyat berbilang kaum yang tinggal secara harmoni di Malaysia.

“UTSB sekali lagi dapat merakam keindahan budaya Malaysia menerusi Pertandingan Seni Warisan Usaha Tegas 2019. Pertandingan ini sentiasa mendapat sokongan Pengerusi UTSB, Tan Sri T Ananda Krishnan sejak kali pertama dianjurkan lebih 20 tahun lalu.

“Rakyat Malaysia tinggal secara harmoni dalam masyarakat majmuk di negara ini sekali gus menjadikan budaya kita menonjol dan unik. Maka menjadi hasrat syarikat melalui pertandingan ini untuk melihat kepentingan warisan budaya Malaysia yang kaya ini dihargai dan dijaga menerusi karya seni,” ujarnya.

Upacara penyampaian hadiah diadakan di Hotel Maya, Kuala Lumpur menyaksikan pemenang hadiah pertama setiap kategori menerima wang tunai RM8,000, tempat kedua dan ketiga masing-masing mendapat RM3,000 dan RM2,000, sementara pemenang hadiah sagu hati mendapat RM500 setiap seorang.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 6:00am
d