nuansa

Pemanduan selamat

Oleh Nurul Husna Mahmud

MUSIM perayaan dipercayai antara penyumbang terbesar kadar kemalangan atau kematian nahas jalan raya.

Statistik 2018 melaporkan jumlah 18 kematian setiap hari dengan 63 peratus adalah membabitkan penunggang motosikal.

Dalam Op Selamat 15/2019 pula, mencatat 207 kematian pada hari ke 12 operasi dijalankan.

Melihat kepada fenomena berkenaan, syarikat insurans am di Malaysia, Allianz Malaysia giat menjalankan kempen advokasi keselamatan jalan raya di Rantau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Fokus kempen ialah golongan yang paling terkesan iaitu penunggang motosikal kerana rekod mereka dalam jumlah kematian akibat nahas jalan raya adalah tertinggi di Malaysia.

Kempen ini juga adalah penutup kepada 19 kempen advokasi keselamatan jalan raya yang sudah dilaksanakan sepanjang tahun lalu dengan harapan dapat mendidik orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ketika di jalan raya terutama menjelang musim perayaan.

Ketua Allianz4Good Allianz Malaysia Berhad Ng Siew Gek berkata, selain nasihat dan penerangan berkaitan kempen diberikan untuk mengingatkan pengguna, peralatan yang sesuai digunakan ketika di jalan raya turut diagihkan.

“Kempen advokasi keselamatan jalan raya adalah salah satu inisiatif teras tanggungjawab korporat kami.

“Sejak 2011, kami menekankan kepentingan keselamatan jalan raya dan tingkah laku terhadap keselamatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Menerusi kempen berterusan ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan mengingatkan diri setiap pengguna jalan raya untuk memandu secara berhemah dan sentiasa fokus ketika pemanduan.

“Untuk kemudahan terutama penunggang motosikal yang selalu dilihat sebagai kumpulan pengguna jalan paling berisiko, kami turut agihkan pelekat reflektif dan jaket keselamatan reflektif yang membantu meningkatkan penglihatan di kawasan cahaya rendah.

“Sekali gus ini akan mengurangkan risiko kemalangan apabila mereka dilihat lebih jelas oleh pengguna jalan raya lain seperti kereta mahupun lori tatkala melalui kawasan yang gelap,” katanya.

Tidak lupa bagi pemandu motokar, syarikat insurans berkenaan turut memberikan alas bahu tali pinggang keledar kereta dan tukul keselamatan.

Tukul keselamatan penting untuk pelbagai fungsi termasuk sebagai lampu suluh, lampu beacon dan pemotong tali pinggang keledar selain boleh digunakan jika berlaku kerosakan kenderaan atau kemalangan.

Mengenai pembabitan syarikat itu dalam inisiatif kempen advokasi keselamatan jalan raya, sebenarnya sudah bermula sejak 2011 menerusi kerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk pelbagai peringkat awam termasuk di sekolah.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 6:12am
d