nuansa

Aksi litar sebelah tangan

Oleh Fairul Asmaini

PADA Julai 2015, Sham Asrol Abu Bakar, 42, berdepan tragedi menyayat hati apabila arwah isteri kesayangan, Nor Azina Mohd Ratki maut ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Sham Asrol yang ketika itu menunggang motosikal jenis Naza Blade 650 terbabas, lalu melanggar pembahagi jalan.

Kemalangan itu menyebabkan dia putus tangan kiri manakala leher Nor Azina, terseret di besi penghadang jalan sebelum terputus dan tercampak dari badan.

Biarpun sudah hampir lima tahun berlalu namun tragedi itu benar-benar memberi kesan kepada diri dan keluarganya.

Begitupun, Sham Asrol masih tidak mampu untuk meninggalkan dunia permotoran yang dianggap sebati dengan dirinya.

“Dahulu, saya mengikuti konvoi untuk suka-suka tetapi kini, saya mengikuti Kelab Sukan Bermotor BRAAAP bagi melepaskan gian.

“Saya menyertai kelab ini kira-kira lapan bulan selepas kemalangan itu dan biarpun ada pihak yang mempersoalkannya namun hakikatnya, ini terapi terbaik untuk saya melepaskan tekanan dan melupakan seketika kenangan pahit yang dilalui.

“Matlamat saya hanya satu iaitu menggalakkan orang ramai terutama golongan muda supaya berlumba motor dengan cara dan di lokasi yang betul,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sham Asrol, dia adalah Orang Kurang Upaya (OKU) pertama di negara ini yang menyertai kelab sukan bermotor itu.

Namun, biarpun tanpa tangan kiri, dia tetap tidak kekok mengendalikan motosikal di litar lumba.

Katanya, motosikalnya tidak menjalani banyak pengubahsuaian dan masih dalam kategori standard.

“Hanya klac sahaja ditinggikan sedikit selebihnya motosikal yang saya gunakan masih standard.

“Memang pada awalnya terasa kekok tapi lama kelamaan saya semakin selesa,” katanya yang menyertai acara Trackday anjuran kelab permotoran itu.

Bapa kepada tiga anak berusia 14 hingga 21 tahun itu berkata, berlumba di litar sebenar seperti litar kekal dengan cara yang sah terbukti lebih selamat dan terkawal berbanding litar haram.

Ini kerana bukan sahaja laluan litar kekal lengkap dengan ciri keselamatan malah turut mewajibkan pelumba mengambil insurans perlindungan diri sebelum berlumba.

“Untuk acara Trackday misalnya, pelumba dibahagikan kepada tiga kumpulan dan mereka boleh berentap sesama sendiri di litar kekal selama 20 minit bagi setiap pusingan.

“Ia bukanlah satu perlumbaan tetapi lebih kepada peluang untuk individu mencuba sendiri keseronokan dan melayan cabaran di litar lumba.

“Jadi, daripada merempit dan berlumba secara haram, golongan muda boleh mencuba acara sebegini yang bukan sahaja sah di sisi undang-undang malah lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan BRAAAP, Azuan Izadee Nordin berkata, selain kategori Trackday, pihaknya turut menganjurkan perlumbaan BRAAAP Track Attack (BTA).

Kata Azuan, ia dianjurkan di litar kekal di seluruh negara seperti di Litar Antarabangsa Sepang, Litar Tangkak, Litar Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Litar Go Kart Diraja Gunung, Kelantan.

“Pelbagai lapisan umur baik lelaki mahu pun wanita menyertai acara Trackday dan perlumbaan BTA mengikut kategori yang disediakan.

“Pelumba perlu memiliki insurans perlindungan diri, mematuhi kriteria dan syarat ditetapkan, jika berusia bawah 13 tahun perlu mendapat kebenaran ibu bapa.

“Banyak hadiah lumayan termasuk wang tunai disediakan dan diharapkan acara sebegini dapat mencungkil bakat lebih ramai pelumba berpotensi dari seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 6:46am
d