nuansa

Sambutan luar biasa

Oleh Nurul Husna Mahmud

SATU kebiasaan bagi setiap kali Ramadan rakyat Malaysia mengunjungi bazar bagi membeli juadah kegemaran mereka.

Walaupun tidak sempat merasa semua, cukuplah 'mengisi' kekenyangan dengan 'visual' pelbagai hidangan daripada lauk-pauk sehinggalah kepada deretan air berwarna-warni untuk dinikmati.

Untuk Ramadan kali ini, rentaknya sedikit berbeza apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengubah rutin kunjungan bazar konvensional dengan normal baharu menerusi pembelian dalam talian, Grab e-Kitchen Bazar di 10 lokasi terpilih sekitar Selangor.

Peniaga Teh Ais Madu Mohd Hairi Mohd Amin, 35, mengakui platform bazar atas talian itu bukan sahaja membantu kelangsungan perniagaan diusahakan bersama sepupunya, malah meluaskan pasaran dan capaian pelanggan untuk menikmati produk keluarannya.

"Dalam tempoh PKP, memang susah untuk penjaja seperti kami mencari lokasi sesuai memasarkan peniagaan kerana tapak bazar Ramadan ditutup bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Sebaik sahaja Kerajaan Negeri Selangor dan Grab menawarkan peluang untuk menyertai e-Kitchen Bazar dengan kemudahan iaitu ada sistem menerima pesanan termasuk 'runner' membuat penghantaran, saya ambil peluang itu.

"Sejak hari pertama jualan lagi sambutan tidak menang tangan kerana pelanggan yang sudah mengetahui mengenai keistimewaan minuman teh air madu kami, gembira dapat membuat pesanan dari rumah.

"Kalau tidak terpaksa upah 'runner' lain dan kadangkala kadar dikenakan jauh lebih tinggi daripada nilai air. Tetapi dengan platform ini bukan sahaja kadarnya berpatutan malah peniaga

tidak perlu fikirkan cara menarik pelanggan kerana pelanggan boleh buat pesanan menerusi aplikasi, katanya mengakui purata pendapatan mencecah sekitar RM500 hingga RM1,000 sepanjang menyertai program e-Kitchen Bazar berkenaan.

Peniaga konvensional Rosiah Abu Asri ,46, mengakui pada mulanya sukar mengadaptasi dengan platform peniagaan digital kerana tidak tahu mengendalikannya.

"Memang mulanya risau, maklumlah saya dan suami, Raja Azlan Raja Aziz, 46, ketinggalan sedikit dalam hal digital.

"Tetapi adanya pihak Grab membantu kami membiasakan diri dengan sistem pesanan atas talian, dua hari program e-Kitchen Bazar, ia mudah.

"Alhamdulillah purata hasil jualan boleh mencecah sehingga RM1,000 sehari," katanya sebelum ini rancak dengan tempahan katering terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu pengalaman 'rider' Grab, Mohamad Fazli Jamhari menyifatkan untuk bazar berkenaan prosedur lebih rumit dan ketat.

"Ketika mengambil makanan di e-Kitchen Bazar, peraturan lebih ketat berbanding di restoran kerana ada pemeriksaaan suhu selain mengisi butiran diri iaitu nama dan nombor telefon sebelum memasuki bazar.

"Selain itu penunggang Grab juga tidak dibenarkan masuk ke tempat pengambilan makanan tanpa pelindungan seperti topeng muka dan sarung, katanya seronok dapat memenuhi hasrat pelanggan untuk merasai juadah biasa dinikmati dalam bazar Ramadan dengan selamat.

Jurucakap Grab pula berkata, seramai 100 peniaga bertungkus-lumus menyediakan hidangan kegemaran orang ramai antaranya roti John, murtabak, nasi tomato dan nasi kerabu.

Grab berkerjasama dengan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) Selangor dan Hijrah Selangor dalam mengumpul peniaga dalam bazar atas talian.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 7:00am
d