nuansa

Bantu anak kariah

Oleh Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah

PENULARAN pandemik Covid-19 mengakibatkan banyak aktiviti yang menjadi rutin harian terpaksa dihentikan.

Pelbagai langkah dan kawalan keselamatan diambil bagi memutuskan penularan rangkaian jangkitan virus itu mendapat rawatan awal.

Masjid Kariah Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor juga tidak terkecuali mengalami implikasi apabila sumbangan masjid agak berkurangan.

Nazir masjid, Zulkifli Abdul Ghaffar berkata susulan itu, barisan ahli jawatankuasanya mengambil inisiatif mencari sumbangan melalui kenalan, sahabat, orang perseorangan dan syarikat korporat.

"Masjid Kariah Batu 10 Cheras adalah satu-satunya masjid di Hulu Langat yang sangat aktif menyalurkan sumbangan kepada semua golongan yang memerlukan bantuan terutama anak kariah dalam kalangan asnaf fakir miskin dan anak yatim sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dilaksanakan.

"Dianggarkan 2,000 orang terutama anak kariah yang terkesan kehilangan punca sumber pendapatan sudah dibantu," katanya.

Menurutnya, sehingga kini barisan hadapan masjid tetap giat dan berusaha mencari sumbangan seberapa banyak yang boleh untuk menampung tabung masjid bagi diagihkan kepada golongan memerlukan.

Terbaharu, satu majlis ringkas penyerahan sumbangan daripada syarikat korporat MMC Engineering dan MMC Pembetungan Langat Sdn Bhd diadakan pada 5 Mei lalu.

Sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan wang tunai untuk diagihkan kepada 100 orang yang disampaikan wakil MMC Pembetungan Langat Sdn Bhd (MMC PLSB) iaitu Mejar (B) Zulkarnain Yaakub selaku Timbalan Pengarah Projek.

Wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan pula adalah Raja Baharudin Raja Mamat, selaku Ketua Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Projek kepada Zulkifli.

Projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini diselia Jabatan Perkhidmatan Pembetungan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.

MMC PLSB pula diberi kepercayaan sebagai kontraktor reka dan bina untuk membangunkan fasiliti yang akan memberi manfaat kepada 920,000 penduduk di sekitar Cheras dan Kajang.

Dalam masa sama, Zulkifli menghargai jasa dermawan yang menghulurkan sumbangan sama ada wang tunai dan barangan keperluan asas untuk anak kariah bagi meneruskan kelangsungan hidup .

"Saya mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil menghulurkan sumbangan," katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 6:15am
d