nuansa

Prihatin normal baharu

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PENULARAN pandemik Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membawa masyarakat di negara ini menjalani kehidupan normal baharu.

Ketika ini, pekerja kesihatan di seluruh dunia berusaha sedaya upaya untuk memerangi pandemik itu supaya masyarakat selamat dan dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.

Tidak terkecuali di Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), barisan doktor, jururawat dan kakitangan bekerja sepanjang masa dengan sebaik mungkin untuk memastikan mereka yang keluar dan masuk ke pusat perubatan itu dijaga dengan prihatin serta mendapat rawatan terbaik.

SMCV mendirikan khemah di luar hospital sejak awal untuk mengasingkan pesakit berisiko tinggi dan berisiko rendah bagi melindungi mereka serta mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19.

Wad yang berbeza turut disediakan untuk mengasingkan kumpulan berkenaan manakala kakitangan juga mengamalkan jarak sosial dengan pesakit bagi mengurangkan risiko jangkitan virus.

Bagi pesakit yang ingin menghubungi doktor pula, pusat perubatan terbabit menubuhkan servis konsultasi secara maya untuk membolehkan pesakit mendapat nasihat kesihatan daripada pakar atau pegawai perubatan secara langsung dari rumah mereka.

Selain itu, pesakit juga boleh membuat janji temu susulan, menerima preskripsi ubat dan nasihat kesihatan khusus jika perlu, bergantung kepada sejarah serta status kesihatan mereka.

Dalam usaha untuk menjaga keselamatan pesakit sementara mereka duduk di rumah sepanjang PKP, pusat perubatan itu juga menyediakan khidmat penghantaran ubat.

Untuk membuat temu janji konsultasi secara maya, pesakit hanya perlu melawat laman web dan memilih daripada senarai pakar perubatan yang terbabit antaranya kardiologi, dermatologi, pediatrik serta psiaktri bagi membuat temu janji secara atas talian.

Bagi kes kesihatan yang dikelaskan bukan kecemasan, servis konsultasi maya secara percuma turut disediakan bagi membolehkan pesakit berhubung dengan pegawai perubatan dari jam 3 hingga 4 petang setiap hari.

Pegawai perubatan terbabit boleh memberi nasihat kesihatan untuk penyakit ringan dan nasihat pencegahan untuk pesakit pelbagai peringkat usia.

Bagi melindungi wira kesihatan, semua kakitangan dan pekerja penjagaan kesihatan mengambil langkah tambahan untuk melindungi diri mereka serta orang yang mereka berhubungan.

Semua pekerja memakai topeng muka sebelum memasuki premis hospital, kesihatan kakitangan juga dipantau setiap hari.

Fasiliti untuk membersihkan diri disediakan untuk semua kakitangan sebagai langkah tambahan pembasmian kuman.

Dalam pada itu, pelbagai fasiliti dan prosedur perubatan diubah suai untuk mengendali situasi Covid-19 manakala jumlah pengunjung dalam premis turut dikawal setiap hari.

Semua pesakit dan pelawat juga diminta mengisi borang Deklarasi Kesihatan dan Perjalanan serta menunjukkan passport atau kad pengenalan untuk tujuan pengesahan sebelum memasuki hospital.

Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 6:45am
d