nuansa

Buat 'live' tengah laut

Oleh Hafiz Ithnin

SEKARANG cara tangkap ikan sudah moden tidak macam dahulu. Kita gunakan telefon pintar untuk tahu pelbagai maklumat mengenainya."

Itu antara butir temu bual yang menarik perhatian penulis tatkala menonton video pendek yang berdurasi dua minit 29 saat itu.

Jawapan nelayan, Daud Lamat, 57, itu jelas menunjukkan penggunaan teknologi masa kini sudah luas.

Tidak hanya tertumpu hanya kepada mereka yang bertali leher di pejabat semata-mata.

Lebih menarik, bukan hanya Daud, malah rakan 'sejawatnya' turut menggunakan kaedah itu untuk berkongsi maklumat

Tidak sekadar berinteraksi menggunakan peranti pintar, malah turut terdapat tripod bagi menstabilkan kedudukan telefonnya di atas bot.

Sekali pandang tidak ubah seperti seorang pemandu meletakkan telefon pintar di atas papan pemuka kenderaan!

Video yang dikongsi bersama Facebook Malaysia itu sebahagian daripada 'Community Voices' di mana ia meraikan bagaimana teknologi mendekatkan lagi hubungan warga dunia dengan mempamerkan kejayaan menerusi beberapa siri filem pendek.

Dalam video itu, Daud menceritakan mengenai dirinya sebagai nelayan di Miri, Sarawak yang menggunakan teknologi mudah alih sebagai alat bantuan yang memudahkan nelayan ketika berada di laut.

Daud berkata, penggunaan teknologi pintar yang mempunyai aplikasi perbualan seperti WhatsApp dan Facebook antaranya menjadi alat bantuan dalam kalangan nelayan bagi menyalurkan maklumat ketika di laut.

Terutama memaklumkan mengenai lokasi yang menjadi lubuk ikan dan sebarang bahaya di laut.

"Maklumat yang dikongsi boleh membantu saya sebagai nelayan untuk memanfaatkannya ketika berada di laut. Malah, dengan adanya fungsi perbualan dalam kumpulan di dalamnya juga memudahkan kami untuk berbincang.

"Selain itu, dengan adanya teknologi sistem kedudukan sejagat (GPS) membantu nelayan untuk mengetahui lokasi terdapatnya ikan di sesuatu kawasan," katanya.

Daud turut memaklumkan dengan adanya penggunaan teknologi mudah alih menarik lebih ramai orang untuk menjadi nelayan kerana memberi banyak kemudahan khususnya lubuk mencari ikan.

Menerusi paparan video itu, penulis melihat penggunaan teknologi dalam kalangan nelayan juga dapat meningkatkan hasil jualan mereka kepada pembeli yang mungkin tidak perlu lagi menggunakan orang tengah.

"Perkara ini kerana jika nelayan dapat berkongsi tangkapan mereka menerusi sosial media, pastinya memudahkan pembeli datang sendiri ke jeti untuk terus membeli tangkapan daripada nelayan.

"Malah, ia juga dapat memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengetahui hasil tangkapan yang dibawa nelayan, sekali gus mampu menjimatkan masa untuk membeli bahan mentah yang masih segar.

"Saya biasanya menggunakan Facebook Live sebelum bot saya tiba di jeti, menunjukkan kepada pembeli mengenai tangkapan pada hari itu. Sebaik tiba di jeti, semua pembeli yang berminat sudah menunggu kepulangan saya untuk membeli apa yang mereka mahukan dan pendapatan saya lebih terjamin," katanya.

Sementara itu, Daud juga menceritakan mengenai aktiviti menangkap bubuk iaitu udang kecil yang dijadikan pelbagai produk makanan seperti belacan, cencaluk dan boleh digoreng begitu sahaja untuk dijadikan santapan.

"Bubuk mempunyai musim tersendiri yang biasanya pada Februari atau Mac dan kita boleh jual untuk diproses menjadikannya pelbagai produk makanan tempatan," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 6:30am
d