nuansa

Gabungan projek amal terbesar

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEBANYAK 25,789 pakaian harian dan pakaian untuk menyambut Aidiladha, 1,086 buku dan kelengkapan alat tulis, 1,066 perabot terpakai dan 139 mainan terpakai diagihkan kepada insan memerlukan dalam program gabungan acara kebajikan terbesar seluruh Malaysia baru-baru ini.

Program julung kali diadakan Pertubuhan Pendidikan Kesedaran & Minda Prihatin Malaysia atau dikenali sebagai Youth Care Malaysia yang dilancarkan Julai lalu di Studio Live Boxx, Petaling Jaya, Selangor.

Dibawakan khas Anas Cosmetics dan Ainaa Beauty bersama Live Boxx PJ, Chibol Gila, Dwell Property Consultant dan Mohd Zaidi Enterprise selaku penaja bersama.

Presiden Youth Care Malaysia, Jabir Meftah berkata, terdahulu semua barang yang diperoleh disanitasi dan dihantar ke dobi bagi tujuan pembersihan semula.

"Hasil kutipan barangan terpakai ini kemudian disalurkan kepada 637 isi rumah belia asnaf dan enam rumah kebajikan," katanya.

Menurutnya, acara simposium kebajikan penstriman digital ini adalah inisiatif kemanusiaan dan kebajikan hasil cetusan idea daripada komuniti belia Youth Care Malaysia selepas mengambil kira semua belia dalam golongan sasar yang memerlukan bantuan untuk meneruskan pembangunan kendiri mereka.

"Sejajar dengan inisiatif norma baharu Malaysia, Youth Care Malaysia menitikberatkan usaha kerajaan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang diperkenalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini," katanya.

Tambahnya, acara ini mendapat sokongan daripada beberapa artis tempatan yang turut dan memberi sumbangan serta membantu dalam menyebarkan informasi berkenaan dengan sumbangan antaranya Datin Diana Danielle, Syafiq Kyle, Sufian Suhaimi, Lisa Surihani dan Syafi DFKL.

"Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan sokongan kepada Youth Care Malaysia.

"Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran belia selebriti media sosial atau dikenali sebagai Instafamous seperti Zafir Karipap, Nazafee, Nurhayati Tahir, Da'i Danial, Da'i Hamidah, Da'i Saiful dan Faris Azri," katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya ingin menjadi contoh teladan terbaik kepada seluruh komuniti belia di Malaysia.

"Kami percaya dengan sedikit suntikan usaha dan sokongan moral ini mampu membantu golongan belia untuk terus bangkit dalam memajukan diri dan seterusnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat di luar sana.

"Ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut serta memberi sumbangan dan kami memohon maaf kerana terpaksa menolak beberapa sumbangan yang diberikan berikutan kekangan masa dan tenaga kerja yang kami hadapi," katanya.

Mengulas mengenai Youth Care Malaysia yang ditubuhkan pada Disember 2019, ia menjalankan misi utama dengan kempen Tanamtree bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia.

"Masih mengekalkan visi ke arah melahirkan generasi belia yang hebat, pertubuhan ini kekal relevan dalam menyentuh dan membantu komuniti belia Malaysia dalam menjalankan pelbagai aktiviti dan program menarik," katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 6:40am
d