nuansa

MEKAR ubah taraf hidup

Oleh Nurul Husna Mahmud

SERAMAI 3,400 keluarga berpendapatan rendah menerima manfaat menerusi Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat atau MEKAR anjuran Yayasan Petronas.

Program yang dilakukan secara berperingkat dalam tempoh 24 bulan itu bertujuan mengatasi kemiskinan dengan menyediakan keperluan asas seperti air, elektrik dan makanan.

Selain menyediakan latihan kemahiran untuk meningkatkan taraf hidup dan aliran pendapatan masyarakat B40 terpilih dari serata negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman program MEKAR ialah komitmen jangka masa panjang mampu membantu meningkatkan kualiti hidup golongan berkenaan terutama dalam kemampuan menjana pendapatan mereka.

"Kami percaya kemajuan sosioekonomi adalah inklusif dan semua rakyat Malaysia harus mendapat kualiti hidup yang lebih baik. Usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan pengangguran memerlukan komitmen jangka panjang.

"Malah kami mengambil kesempatan ini untuk melabur dalam sumber sekurang-kurangnya dua tahun untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam kalangan masyarakat di daerah-daerah yang disasarkan ini," katanya.

Tambah Lita, pihaknya mahu mewujudkan masyarakat yang adil dan sekali gus merapatkan jurang pendapatan memandangkan Malaysia kini bergerak maju menjadi negara yang berpendapatan tinggi.

Dalam program berkenaan yang bermula terlebih dahulu di Kedah pada November lalu, Yayasan Petronas bekerjasama dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Sehingga kini, inisiatif ini menyaksikan penerima faedah bersasar di negeri terbabit seperti Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu mencatatkan peningkatan pendapatan yang ketara.

Ini termasuk ada dalam kalangan mereka memperoleh pendapatan 10 kali ganda daripada pendapatan yang biasa mereka peroleh sebelum ini.

Penerima faedah dari Pendang Kedah, Norhazima Abdul Jalil berkata, impak menyertai program terbabit bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga malah turut membantu wanita lain dalam komunitinya.

"Sebelum saya menyertai latihan kemahiran dan keusahawanan empowerNCER - Program MEKAR yang dibiayai Yayasan Petronas, saya hanya duduk di rumah dan memperoleh kira-kira RM500 sebulan hasil menjual makanan, selain menolong suami bekerja di ladang getah.

"Kini, saya sudah memiliki sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis mi dan berjaya memperoleh pendapatan sebanyak 12 kali ganda lebih daripada sebelumnya.

"Saya juga mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarga dan menolong wanita lain dalam komuniti saya," katanya.

Sementara itu bekas penganggur dari Baling, Kedah, Ubal Kulim, 33, menyifatkan penyertaan program berkenaan mengubah hala tuju hidupnya apabila sudah boleh menjana pendapatan stabil buat keluarga.

"Sebelum ini saya tidak pernah ada pendapatan bulanan dan hidup ibarat kais pagi makan pagi. Tetapi selepas mengikuti program latihan kemahiran dan keusahawanan empowerNCER - Program MEKAR, saya mula ada keberanian untuk memulakan perniagaan.

"Saya kini mengusahakan perniagaan makanan iaitu menjual burger dengan pendapatan bulanan RM1,500, iaitu empat kali ganda daripada yang diperoleh sebelum ini dan sudah mampu menyara keluarga," katanya.

Yayasan Petronas berhasrat memastikan kehidupan dan kesejahteraan yang sihat dan mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang inklusif serta lestari bagi rakyat Malaysia.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 6:20am
d