nuansa

Aura tiga artis budaya

Oleh Nurul Husna Mahmud

BUKAN hanya bahasa, makanan dan pakaian menjadi gambaran identiti sesebuah negara, malah budaya serta seni tradisi antara warisan perlu dipelihara dalam memastikan ia tidak terus lapuk ditelan zaman.

Melihat kepada kesinambungan mempertahankan legasi orang lama dalam seni tradisi apatah lagi menjadi identiti Malaysia, kisah tiga personaliti budaya iaitu tok dalang wayang kulit cilik, Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie, penari klasik Bharatanatyam, Abbernaa Dhevi dan pengarah Opera Boneka Teochew, Goh Hui Ling boleh dijadikan contoh serta inspirasi buat penggiat budaya tempatan.

Bukan sahaja menguasai skil dan kemahiran di aras tinggi dalam bidang kesenian tradisi masing-masing, malah penampilan kelibat tiga personaliti ini turut mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Bakat mereka bukan picisan sebaliknya 'aura' ketika persembahan pembukaan festival seni The ArtsFAS: The Future of Culture anjuran Yayasan Hasanah di Publika baru-baru ini menarik warga tempatan julung kali menonton persembahan itu.

Membuat penulis rasa kagum di sebalik personaliti cukup merendah diri dan bersederhana, mereka mempunyai misi besar dalam kegiatan seni berkenaan.

Paling menonjol ialah personaliti tok dalang Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie yang berusia enam tahun namun sudah biasa membuat persembahan merata dunia sehingga China, Singapura mahupun Indonesia.

Bakatnya itu dikesan ayahnya, Mohd Sulhie Yusof, 43, yang juga memiliki kumpulan persembahan wayang kulit Arjunasukma dari Kelantan.

Menurut ibunya, Aniza Musa, 37, anaknya berubah karakter ketika membuat persembahan apabila ralik mengawal anak patung di sebalik layar putih selain mampu menyampaikan cerita mengikut muzik iringan.

"Seperti anak lain, Pyu nama mesra Aqfierudzar Rizq aktif dan gemar bermain, tetapi apabila diberi gong atau membuat persembahan, sikapnya berubah menjadi serius dan asyik menyampaikan cerita di depan umum.

"Beri sahaja patung karakter dan jalan cerita, Pyu boleh buat persembahan serta setiap cerita disampaikan lancar selain diterima penonton bukan sahaja dalam kalangan sebaya malah juga mempunyai peminat daripada golongan dewasa," katanya.

Kata Aniza, membuatkan ramai boleh menerima meskipun ketika ini Pyu hanya mampu menyampaikan dalam dialek Kelantan adalah berdasarkan pemahaman di sekitarnya.

"Aksinya menarik perhatian ramai orang terutama dari luar pantai timur kerana penceritaan segar mengikut aliran semasa dan tiada mantera rumit membuatkan rata-rata selesa menonton.

"Sebalik jadual persembahan padat, Pyu tidak pernah meluahkan rasa bosan malah menyukai seni wayang kulit dan gemar mengikuti bapanya membuat persembahan di serata Malaysia.

"Saya sendiri pernah bertanya mengenai cita-cita apabila dewasa nanti, katanya dia mahu menjadi juruterbang, tetapi masih mahu bermain wayang kulit," katanya giat memberi sokongan terhadap minat anaknya itu.

Bagi penari klasik India, Abbernaa Dhevi atau mesra dengan Abbernaa memiliki pakej lengkap iaitu bakat dalam tarian tradisi dan mempunyai kepandaian akademik membuatkan dia tampak matang.

Kata Abbernaa, setiap tradisi yang ada di Malaysia sewajarnya dipelihara dan untuk menarik perhatian generasi perlu ada usaha untuk mengangkat seni itu lebih serius.

"Pengamatan peribadi saya, pihak luar lebih menghargai warisan seni tradisi dan saya tidak melihat tarian klasik etnik saya juga mempunyai masalah berkenaan, bangsa dan etnik lain turut menghadapi cabaran sama apabila menyebut mengenai warisan budaya masing-masing.

"Saya sebagai penggiat pada generasi sekarang sudah melihat cabaran itu bermula dengan ketiadaan guru apabila guru sedia ada semakin tua dan tidak banyak persembahan dilakukan pada peringkat dalam negara.

"Saya rasa ini masanya iaitu ketika kita berada dalam pandemik, boleh dilihat satu perubahan atau dasar pandangan supaya melihat apa yang ada untuk dipelihara dan dijaga. Ini identiti kita rakyat Malaysia, budaya tarian, seni mahupun miliki persembahan etnik boleh dinikmati dan dipelajari," katanya.

Pendapat itu turut disokong dengan kenyataan Goh Hui Ling yang meluahkan kebimbangan persembahan Opera Boneka Teochew semakin pupus kerana ketiadaan pewaris mewarisinya.

"Saya adalah generasi keempat dan anak saudara adalah generasi kelima dan satu-satunya produksi Opera Boneka Teochew masih aktif di Malaysia. Apa saya boleh katakan cabaran ialah generasi sekarang berasakan tradisi adalah satu membosankan.

"Namun kalau dilihat keindahan seni itu, saya mahu ia berkembang dan usaha saya ini dengan mempunyai dua anak murid dari bangsa lain iaitu Serani dan Melayu membuka perspektif seni ini bukan lagi eksklusif.

"Justeru, saya mahu lebih terbuka dan dalam peringkat mengkaji lima jalan cerita daripada kisah Orang Melayu untuk dimuatkan dalam persembahan akan datang. Pembaharuan dilakukan, tetapi tidak melupakan asas lama," katanya.

Sementara itu Ketua Seni, Budaya dan Ruang Awam Yayasan Hasanah Zanariah Johari berkata, pihaknya berusaha membantu dalam memastikan kelangsungan seni budaya dengan memberi sokongan kepada artis budaya tradisi mengikut keperluan masing-masing.

"Pencarian seperti bakat dimiliki tiga artis budaya itu diteruskan bermula Januari hingga Ogos dan September hingga November pula lebih kepada memperkenalkan mereka di khalayak umum.

"Ini antara inisiatif kami untuk terus membantu artis terkesan apatah lagi dalam keadaan tidak menentu dengan ketiadaan undangan membuat persembahan menjadi pendapatan mereka.

"Cumanya kami anjurkan dalam keadaan norma baharu mematuhi standard operasi keselamatan ditetapkan pihak berkuasa dalam memastikan orang ramai masih dapat melihat persembahan tradisi jarang diperlihatkan kepada mereka sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 7:00am
d