nuansa

Rai semangat 'memberi'

Oleh Nurul Husna Mahmud

MENURUT kajian United Nations Population Fund (UNFPA) - United Nations Children's Fun (UNICEF) yang dilakukan pada Mei lalu, satu dari empat ketua isi rumah menganggur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan mereka ini tidak memiliki perlindungan pekerjaan.

Kajian UNICEF juga menunjukkan keluarga berpendapatan rendah terutama isi rumah dengan pendapatan bulan RM5,000 ke bawah bergelut menangani krisis terbabit dengan 'mengikat perut' bagi menjimatkan simpanan sedia ada.

Menyedari krisis kekurangan bahan asas terutama makanan, Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur berkolaborasi dengan Kechara Soup Kitchen melakukan sumbangan 5,000 telur kepada 200 keluarga.

Menurut Pengurus Besar Kanan Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur, Wilfred Yeo, pihaknya mahu memupuk dan meraikan semangat 'memberi' dalam sokongan kepada salah satu matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu 'Zero Hunger' atau Sifar Kelaparan dalam memupuk masa depan lebih baik dalam kalangan komuniti.

"Permintaan untuk bantuan makanan dan barang keperluan harian meningkat dengan kadar yang luar biasa, terutama pada masa ini.

"Kami berbesar hati untuk melaksanakan tugas kami dan berharap keluarga mendapat manfaat daripada sumbangan ini dapat mengharungi hari sukar mereka dengan tabah. Kami berharap kesudahan baik untuk semua pihak dalam detik sukar ketika ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen Justin Cheah turut menghargai usaha korporat itu membantu pihaknya menyalurkan keperluan makanan kepada mereka yang memerlukan.

"Kami sangat menghargai kesungguhan dan kemurahan hati Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur.

"Malah, kami ingin menyeru kepada lebih banyak organisasi untuk menyumbang makanan dan bekalan keperluan kepada mereka yang lapar dan golongan memerlukan," katanya.

Selain itu, Sunway turut melancarkan kempen 'Food of Thought' dengan menyasarkan agihan 8,100 pek makanan kepada penduduk miskin, gelandangan dan individu hilang mata pencarian sekitar Lembah Klang yang memerlukan makanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi menangani isu keselamatan makanan, Sunway akan melancarkan Sunway FutureX Farm iaitu pusat pengembangan kemahiran pertama di Malaysia untuk profesional pertanian bandar, syarikat teknologi, penyelidik dan bakat muda bekerjasama dan mencipta penyelesaian berkait isu makanan serta pertanian.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 6:16am
d