nuansa

Bawa misi besar

Oleh Hafiz Ithnin

Sebaik sahaja menamatkan temu bual bersama sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) ini penulis dapat merasakan mereka mempunyai misi yang besar untuk melestarikan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak sekali gus memberi limpahan manfaat kepada komuniti setempat.

Bermula pada April 2016, Akademi Permata Ihsan ditubuhkan bagi membantu meningkatkan akademik dan sahsiah anak-anak komuniti Putrajaya dengan cara tersendiri.

Contohnya, jika dalam bilik darjah mereka diajar mengira dalam subjek matematik, tetapi di dalam akademi itu mereka diajar cara mengira mengikut situasi seperti membayar makanan atau ke kedai.

Begitu juga bagi meningkatkan keupayaan menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris menerusi situasi seperti pengucapan umum, bercerita, menyanyi dan bersajak.

Tidak ketinggalan, bakat anak-anak itu juga dicungkil dalam bidang seni kerana mereka yang terpilih menyertai akademi itu akan dinilai kemampuan untuk melukis kerana lukisan dilihat sebagai satu platform luahan jiwa.

Pengasasnya, Khaidir Zakaria berkata, sejak ditubuhkan sudah lebih 300 murid darjah satu hingga lima menyertainya sehingga kini.

Katanya, meskipun aktiviti pembelajaran 'kelas tambahan' itu diadakan secara sukarela, mereka hanya memilih 60 murid sahaja bagi satu sesi kemasukan memandangkan setiap tahun akademi itu menerima permohonan yang tinggi.

"Jadi murid-murid ini akan dinilai oleh 12 penilai terdiri daripada pelbagai latar belakang industri. Perkara yang kita utamakan adalah salsiah murid-murid dan ibu bapa itu sendiri.

"Bagi pengambilan kita akan adakan pada Disember dan kelas bermula pada Januari. Bagaimanapun ia terhad kepada 60 orang murid sahaja bagi mengikuti kelas Akademi Permata Ihsan yang diadakan di dalam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Kita tidak mengenakan bayaran kepada ibu bapa bagi anak-anak mereka yang menyertai kelas ini tetapi menggalakkan mereka untuk menyumbang memandangkan selepas kelas anak-anak ini akan diberikan makanan. Setakat ini, kebanyakannya menyumbang RM30 sebulan," katanya.

Sesi pembelajaran kanak-kanak itu berlangsung selama dua jam setiap Rabu, Khamis dan Ahad.

Sementara itu, terdapat hampir 15 sukarelawan yang menjadi tenaga pengajar terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar universiti, penjawat awam dan kakitangan swasta.

"Sebenarnya kita ingin mendidik anak-anak ini belajar dalam cara yang berbeza supaya mereka lebih seronok selain dapat mengasah bakat dalam bidang yang mungkin sebelum ini tidak ditonjolkan di sekolah.

"Antara kaedah pembelajaran ialah menyanyi, bercerita, berlakon dan juga memberi situasi tertentu untuk diselesaikan," katanya.

Khaidir berkata, subjek pembelajaran yang diajar kepada kanak-kanak yang menyertai akademi berkenaan ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Lukisan. Semua subjek diajar juga mempunyai silibus pembelajaran daripada Akademi i-Sina.

Katanya, pihaknya turut mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa selepas anak-anak mereka menyertai Akademi Permata Ihsan terutama dari segi kecemerlangan akademik dan lebih bersalsiah.

"Setakat ini, kita juga sudah melahirkan murid-murid yang berjaya melanjutkan ke sekolah menengah berprestasi tinggi dan perkara ini menjadi satu kebanggaan kerana akademi ini adalah dilaksanakan oleh NGO bagi membantu masyarakat setempat.

"Selain itu, dari segi membantu masyarakat di Putrajaya, hasil dari sumbangan ibu bapa untuk kelas, kita akan membeli makanan daripada penduduk setempat. Perkara ini dapat membantu penduduk di Putrajaya mendapat pendapatan sampingan," katanya.

Jelasnya, anak-anak yang menyertai akademi itu turut menyertai aktiviti di luar kelas seperti mendaki, berlari, menyertai rugbi, membuat kek dan melakukan aktiviti di rumah kebajikan.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 6:11am
d