nuansa

Terpikat kali pertama

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEBENARNYA, tujuan asal penulis berkunjung ke rumah Muhammad Mustafa Abdul Salam, 53, di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini adalah untuk satu sesi temu bual perkara lain.

Bagaimanapun, sebaik melangkah masuk ke halaman rumah itu, kelihatan lebih 32 sangkar yang menempatkan haiwan menyerupai arnab nyata menarik perhatian penulis.

Melihat dengan lebih dekat, ternyata sangkaan penulis meleset, apabila Muhammad Mustafa atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mustafa itu memberitahu haiwan menyerupai arnab itu sebenarnya tikus belanda.

Terdapat 10 spesies tikus belanda dipelihara Muhammad Mustafa termasuk American, White Crested, Teddy, Coronet, Skinny dan Peruvian yang diperoleh daripada penternak tempatan serta luar negara.

Setiap jenis tikus belanda yang dipelihara memiliki keunikan tersendiri termasuk memiliki 'mahkota' di kepala, berbulu lebat, keriting dan sebagainya.

Muhammad Mustafa berkata, minat terhadap haiwan bermula sejak kecil apabila pernah menerima hadiah ikan emas daripada bapanya.

Sejak dari itu, dia kemudian memelihara pelbagai jenis haiwan di rumahnya di Teluk Intan, Perak.

"Antara haiwan yang dipelihara termasuk burung merpati, merbuk, tekukur dan arnab di belakang rumah sehingga menjadi zoo mini.

"Semua haiwan yang dipelihara membiak dengan baik. Namun apabila saya menyambung pengajian di maktab perguruan, haiwan itu dihadiahkan kepada mereka yang berminat,

" katanya.

Menurutnya, minat terhadap tikus belanda tercetus ketika dia dan isterinya makan tengah hari di sebuah kompleks beli-belah.

"Secara kebetulan, ada pameran kucing dan pertandingan arnab di situ. Ketika singgah di pameran itu, saya tertarik dengan haiwan yang menyerupai arnab sebelum dimaklumkan ia adalah tikus belanda.

"Selepas mendapat maklumat lanjut, saya membeli seekor tikus belanda berusia dua bulan yang dijual dengan harga munasabah .

"Tertarik dengan kecomelan tikus belanda selain mudah dipelihara, saya mula menambah bilangan haiwan itu yang dibeli dengan harga mampu milik secara dalam talian," katanya.

Jelasnya, percubaan pertama menyertai pertandingan tikus belanda pada 2018 membuka ruang kepadanya bertemu dengan lebih ramai individu yang berkongsi minat sama.

"Biarpun tidak menang, saya peroleh banyak maklumat yang lebih jelas mengenai tikus belanda berkualiti tinggi.

"Sejak itu, saya semakin tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai haiwan berkenaan termasuk membuat carian di internet," katanya.

Di samping tahun berikutnya, dia sekali lagi menyertai pertandingan sama dengan persediaan yang cukup rapi.

"Kali ini, saya bawa enam tikus belanda dan alhamdulillah, dua daripadanya memenangi dua kategori yang dipertandingkan.

"Sehingga kini selepas hampir tiga tahun, saya sudah memiliki kira-kira 60 tikus belanda pelbagai jenis. Sekiranya anak tikus belanda yang dilahirkan memiliki rupa dan bentuk sama, saya akan jual (usia dua bulan) kerana ruang yang terhad," katanya.

Mengulas lanjut, penjagaan tikus belanda sangat mudah namun memerlukan komitmen yang tinggi daripada pemiliknya supaya ia dijaga dengan baik.

"Penjagaan makanannya amat penting dan perlu pastikan ia mendapat vitamin C yang mencukupi dengan memberikan sama ada palet tikus belanda (lebih mahal kerana ada vitamin C) atau palet arnab (perlu diberikan dengan rumput napier untuk vitamin C). Kemudian pastikan air minuman dan sangkar sentiasa dalam keadaan bersih.

"Selain itu, sentiasa pantau tahap kesihatannya, kerana ia sukar dikesan di peringkat awal," katanya.

Tambahnya, secara peribadi memelihara haiwan seperti tikus belanda ini memberi manfaat kepada kesihatannya.

"Biasanya setiap petang, saya akan keluar ke kawasan berhampiran untuk menebas rumput napier yang secara tidak langsung dapat mengeluarkan peluh.

"Selain itu, ia lebih kepada terapi. Apabila melihat haiwan ini, ia memberi ketenangan jiwa yang sukar digambarkan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, bapa kepada tiga anak ini berhasrat menjadikan penternakan tikus belanda ini sebagai sumber pendapatan sampingan selepas bersara sebagai guru.

"Hobi memelihara tikus belanda ini masih baharu namun mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan. Apa tidaknya, tikus belanda bertaraf 'show quality' boleh dijual pada harga RM600 hingga RM1,000 seekor.

"Insya-Allah, jika diberi peluang saya ingin mencari ruang yang lebih luas untuk menempatkan lebih banyak tikus belanda," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 6:10am
d