nuansa

Cef kawal pemakanan

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

KETIKA kebanyakan rakan sekelas bercita - cita mahu menjadi polis, tentera, guru dan ahli bomba, namun Mohd Kamal Othman, 33, memilih untuk menjadi cef sebagai kerjaya pilihannya.

Tamat saja Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) dia memohon melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari di Institut Kemahiran Belia Negara, Melaka (kini dikenali Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara) pada 2005.

Kemudian, Mohd Kamal terus memohon bekerja Pembantu Penyediaan Makanan (PePM) dan selepas berjaya dalam temuduga dia bertugas di Jabatan Sajian Dan Dietetik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang pada pada 2011.

Ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Paya Pulai, Temerloh baru - baru ini, Mohd Kamal berkata dia ingin membuktikan bidang masakan sememangnya cukup diminati dan mempunyai masa depan.

Katanya sejak berumur lapan tahun, dia sudah boleh memasak antaranya nasi goreng bagi keperluan diri sendiri berikutan ibu bapanya sibuk bekerja menguruskan ladang kelapa sawit.

"Pendek kata, ketika itu saya memasak untuk diri sendiri, termasuk mengoreng ikan atau ayam dan memasak nasi.

"Sehinggalah saya jatuh cinta dengan bidang ini dan impian untuk bergelar cef semakin membara," katanya.

Mohd Kamal berkata, biarpun terikat dengan tugas hakiki sebagai PePM, dia tekad mengisi masa senggang dengan menonjolkan kebolehan dalam bidang masakan sebagai pendapatan sampingan.

Katanya sejak lima tahun lalu, dia menerima pelbagai jenis tempahan daripada orang ramai membabitkan makanan, gubahan buah - buahan, makanan beradab pengantin dan menghias pelamin.

"Kerjaya sebagai PePM sebenarnya satu kelebihan kepada saya bagi mempraktikan semua perkara berkaitan dalam menyediakan menu ditempah pelanggan.

"Malah kemahiran itu memudahkan saya menyediakan hidangan tetamu pada majlis keramaian membabitkan ahli keluarga selain dibantu adik beradik lain," kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Menjadikan cef Ahmad Sabri Abu Hassan sebagai inspirasinya, Mohd Kamal berkata, menerusi hasil pendapatan sampingan itu dia mampu membeli pelbagai barangan diperlukan tanpa menggunakan duit gajinya.

Isterinya, Noor Ashafiza A Rahman, 33, antara yang menyokongnya dan sentiasa memberi idea dalam mempelbagaikan jenis masakan.

Mohd Kamal turut menyertai pelbagai pertandingan masakan dan pernah menjadi juara antaranya Pertandingan Masakan Ayam Kampung, Maran 2018 dan National Health Care Food Service di Shah Alam pada 2017 serta tempat ketiga Pertandingan Masakan Produk Adabi 2019.

Katanya, tujuan memasuki pertandingan bagi meningkatkan lagi kemahiran memasak kerana dia turut bercita-cita embuka sebuah restoran dalam tempoh tiga tahun lagi di Temerloh.

"Bidang masakan sangat luas, malah orang ramai sentiasa mahukan pelbagai masakan baharu muncul bagi menukar selera masing - masing.

"Saya juga tidak kisah berkongsi idea dan sering kali menjadi tempat rujukan rakan-rakan yang juga terbabit dalam perniagaan makanan," katanya yang turut menghasilkan sos lada hitam resipi sendiri.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 6:20am
d