nuansa

35,000 hidangan Happy Meal

Oleh Hartini Mohd Nawi

HINGGA pertengahan bulan ini, 35,000 hidangan Happy Meal akan disampaikan kepada kanak-kanak di lebih 1,000 rumah anak yatim yang terkesan dengan pandemik Covid -19.

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar pihaknya menganjurkan program sumbangan Happy Meal di restoran McDonald's di seluruh negara selama lebih sebulan, dari Oktober hingga pertengahan November lalu.

"Pelanggan-pelanggan kami menderma sejumlah 17,891 hidangan Happy Meal, dan kami di McDonald's Malaysia menyepadankan jumlah itu.

"Kini, 35,000 hidangan Happy Meal akan diedarkan kepada kanak-kanak di lebih 1,000 rumah-rumah anak yatim di seluruh negara," katanya.

Malah pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang menyertai program sumbangan Happy Meal bagi menyebarkan 'kegembiraan' kepada kanak-kanak di seluruh negara.

"Kami berharap hidangan Happy Meal ini akan membawa kegembiraan dan keceriaan kepada kanak-kanak ketika tempoh ini," katanya.

Menurut Azmir, inisiatif terbaharu oleh McDonald's Malaysia itu adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan syarikat yang diusahakan sepanjang tahun.

"Bertujuan mewujudkan impak positif dalam komuniti ia beroperasi, McDonald's Malaysia menggalakkan kru restoran di lebih 300 restoran di seluruh negara untuk menjalankan sekurang-kurangnya dua aktiviti kemasyarakatan dalam sebulan.

"Daripada 1,200 aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan pada tahun 2015, McDonald's Malaysia sudah menjalankan lebih 7,000 aktiviti pada tahun 2020," katanya.

Sepanjang tahun ini, McDonald's Malaysia menaja hampir 200,000 hidangan makanan untuk petugas barisan hadapan negara termasuk petugas hospital, polis dan tentera.

"Satu-satunya pengajaran tahun 2020 adalah amat penting untuk kita bersatu padu sebagai sebuah negara dan komuniti. Sumbangan terbaharu kepada lebih 1,000 rumah anak yatim ini memaparkan semangat kolaboratif #KitaBoleh yang akhirnya akan memberi kesan positif terhadap komuniti.

"Kami di McDonald's Malaysia akan terus berbuat yang terbaik untuk komuniti di mana kami beroperasi," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 6:17am
d