pks

Plantbae.my rancang buka galeri tanaman secara fizikal

Oleh Rosyahaida Abdullah

SYARIKAT penjualan pokok hiasan dalaman hidup, Plantbae.my merancang memperluas platform perniagaannya dengan membuka galeri pokok secara fizikal dalam tempoh setahun lagi.

Pemilik Bersama plantbae.my, Sarah Zulkifli berkata, biarpun syarikatnya masih baru dan ditubuhkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau yakin mampu mencapai sasaran itu berasaskan kepada perkembangan baik perniagaannya menerusi platform dalam talian yang digunakan setakat ini.

Malah, katanya, dengan trend masa kini di mana masyarakat semakin terdedah dengan penggunaan pokok hidup untuk tujuan hiasan dalaman, beliau komited untuk memanfaatkannya bagi meningkatkan lagi potensi perniagaan.

"Meskipun kami masih baru, ditubuhkan pada awal bulan lalu (Mei) ketika tempoh PKP masih berjalan, Plantbae.my tidak boleh berlengah sebaliknya kami perlu ambil peluang ini untuk kukuhkan perniagaan.

"Sepanjang berinteraksi dengan pelanggan, dalam tempoh singkat ini juga, ramai dalam kalangan mereka meminta untuk melihat pokok itu secara langsung, bukan sekadar dalam gambar.

"Kami sudah memikirkan hal ini sejak awal lagi namun menjangka ia dapat direalisasikan dalam tempoh setahun lagi. Sementara itu, perniagaan dalam talian akan diperkukuhkan," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sarah berkata, walaupun pokok hiasan dalaman hidup kini dianggap sebagai trend yang mungkin akan berlalu nanti, beliau sebaliknya menganggap ia sebagai permulaan kepada kesedaran terhadap manfaat pokok hidup sebagai hiasan dalaman.

Malah, perniagaan itu sudah lama dirancang untuk dimulakan selepas menyedari hobi menghias ruang dalaman rumah menggunakan pokok hidup mampu menjana pendapatan untuknya.

"Menerusi perniagaan ini, kami berharap masyarakat dapat melihat pokok hidup sebagai antara elemen hiasan dalaman selain pokok tiruan yang biasa digunakan sebagai dekorasi.

"Kami sediakan pokok hidup yang lengkap dengan pasu cantik dan sudah ditambah baja pada harga cukup mampu milik serendah RM25 hingga RM180 untuk segenap golongan pelanggan.

"Pada masa sama, saya cuba menggunakan pendekatan konsultasi penjagaan pokok hidup secara percuma kepada semua termasuklah bukan pelanggan sekalipun bagi meningkatkan keyakinan pelanggan mendapatkan produk kami," katanya.

Jelas Sarah, menjelang lima tahun lagi, beliau berharap, nama Plantbae.my akan lebih kukuh dalam pasaran dan menjadi pilihan utama penggemar pokok hidup di negara ini.

"Antara potensi yang sedang kami teroka adalah untuk mewujudkan nurseri dengan pelbagai spesis pokok di beberapa lokasi," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 7:20am
d