pks

Hanya belanja yang perlu

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

KERAJAAN sudah memperkenalkan inisiatif pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020.

Tempoh ini dijangka berakhir pada 30 September 2020. Secara umumnya, langkah melaksanakan moratorium ini bertujuan memberikan bantuan kewangan sementara kepada peminjam sewaktu krisis wabak Covid-19.

Inisiatif ini dilihat dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat serta peniaga kecil berikutan impak daripada pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas ekonomi negara dan kewangan rakyat.

Namun, menjelang beberapa bulan sebelum tempoh moratorium ini berakhir, timbul persoalan apakah peminjam sudah bersedia umtuk berhadapan dengan cabaran pengurusan kewangan selepas tempoh pelaksanaan moratorium ini berakhir kelak.

Penulis percaya majoriti anggota masyarakat terutama peminjam individu daripada kalangan kelompok berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta peniaga PKS mengambil dan bersetuju untuk menerima kemudahan moratorium ini bagi memenuhi keperluan aliran tunai ketika serangan wabak Covid-19.

Ia kerana kelompok ini antara segmen masyarakat yang terjejas teruk angkara wabak tersebut. Misalnya, kehidupan seharian mereka cukup terhimpit dan memerlukan aliran wang tunai untuk menampung keperluan harian diri dan keluarga.

Jadi, keputusan mengambil moratorium pada ketika itu sememangnya dilihat sebagai satu keperluan yang mendesak dan merupakan tindakan tepat, tambahan pula mereka tidak mempunyai banyak pilihan kerana tiada sumber pendapatan lain dan tiada tabung simpanan untuk digunakan ketika saat kecemasan seperti ini.

Oleh itu, berbaki beberapa bulan lagi menjelang berakhirnya tempoh kelulusan moratorium itu, adalah wajar untuk setiap peminjam memikirkan secara serius cabaran yang bakal dihadapi selepas tempoh itu berakhir pada 30 September 2020.

Cabaran terbesar ialah mulai Oktober kita perlu memulakan jadual pembayaran balik pinjaman seperti biasa. Jadi, kita perlu mula merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan diri dan keluarga mulai sekarang.

Ironinya kebimbangan utama di sini ialah bagaimana dengan nasib individu yang sudah diberhentikan kerja oleh majikan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Misalnya, mengikut laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia, kadar pengangguran Malaysia untuk April tahun ini melonjak kepada lima peratus dengan 778,800 orang penduduk direkodkan tiada pekerjaan.

Antara sebab utama ialah kerana penutupan operasi sebahagian besar perniagaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Jadi bagaimana mereka yang kehilangan kerja ini mampu membayar balik pinjaman mulai Oktober jika dalam tempoh beberapa bulan ini tidak memperoleh sebarang pekerjaan yang menawarkan gaji yang cukup untuk menampung diri dan keluarga serta cukup untuk membayar balik pinjaman?

Ini bakal menjadi cabaran besar kepada setiap individu yang sedang menganggur dan sukar memperoleh peluang pekerjaan. Jangan lupa bilangan pekerja yang terpaksa diberhentikan oleh majikan juga semakin meningkat.

Malah, kita risau bilangan ini bakal melonjak naik selepas Oktober andainya PKS yang turut menikmati moratorium tidak mampu pulih kembali yang akhirnya mereka juga akan memilih jalan untuk memberhentikan pekerja sebagai strategi mudah mengurangkan kerugian dan kos operasi.

Maka kadar pengangguran akan terus naik dan golongan diberhentikan kerja pasti tidak mampu membayar balik pinjaman.

Hakikatnya belum ada sebarang tanda yang meyakinkan menjelang Oktober ini bahawa keadaan ekonomi negara dan dunia akan kembali pulih serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Dalam hal ini sememangnya kita sangat berharap agar segala inisiatif yang diumumkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dapat memberikan hasil yang dijanjikan dengan segera.

Namun, tatkala Penjana membuka ruang yang diperlukan, kita tetap perlu bersiap siaga untuk mengharungi segala kemungkinan yang bakal berlaku menjelang Oktober nanti.

Dalam konteks ini, kita juga tidak boleh berharap sangat supaya tempoh moratorium ini akan dilanjutkan lagi oleh pihak bank.

Walaupun ada usaha daripada pihak kerajaan untuk berbincang dengan pihak bank berkaitan perlanjutan tempoh moratorium serta cadangan beberapa pihak agar pihak bank melanjutkan tempoh kepada golongan yang tersasar atau terjejas teruk, namun hakikatnya kita tetap perlu bersiap sedia berhadapan dengan segala kemungkinan.

Misalnya, cuba bayangkan menjelang Oktober kita masih menganggur dan pinjaman perlu mula dibayar balik. Apa akan jadi kepada kehidupan kita pada ketika itu?

Oleh itu, adalah disarankan kepada semua peminjam agar menggunakan kemudahan moratorium Julai hingga September ini secara berhemat agar ia boleh dijadikan bekalan sementara untuk mengharungi cabaran pasca moratorium.

Harus diingat, cabarannya bukan saja keperluan untuk membayar balik pinjaman, tetapi juga keperluan sumber kewangan untuk menampung kehidupan harian diri dan keluarga.

Justeru, antara saranan utama ubahlah gaya hidup dan biar perbelanjaan kita fokus kepada keperluan berbanding kemahuan. Di saat yang meruncing sebegini, janganlah berbelanja mengikut nafsu, perasaan dan emosi.

Rancang perbelanjaan dan bijak mengurus kewangan masing-masing supaya kita masih boleh bertahan untuk beberapa bulan selepas tempoh moratorium ini tamat.

Pada masa sama, bagi yang sedang menganggur, usahalah sungguh-sungguh untuk mencari peluang pekerjaan agar kita boleh meneruskan survival kehidupan mulai Oktober nanti.

Dalam situasi sekarang jangan sesekali memilih pekerjaan. Apa yang penting kita perlu ada sumber pendapatan bagi menampung keperluan diri dan keluarga.

Dalam hal ini, diharap langkah kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing sehingga hujung tahun ini akan membantu warga tempatan yang sedang menganggur memperoleh pekerjaan.

Tuntasnya, peminjam bakal berhadapan dengan cabaran yang besar mulai Oktober nanti. Justeru, jangan sesekali membazir mahupun berbelanja sakan dengan kemudahan aliran tunai yang ada di tangan pada masa sekarang, sebaliknya perlu bijak mengurus kewangan diri dan mengubah gaya hidup serta corak perbelanjaan supaya dapat berjimat cermat.

Ini sekali gus akan membantu kita untuk bersedia mengharungi keperluan kewangan pasca moratorium kelak.

Penulis Pentadbir Di Universiti Awam Dan Penganalisis Isu Semasa

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 7:00am
d