pks

Kongsi ilmu pengurusan data

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BELIAU berjaya mencapai impian sejak kecil untuk bergelar pakar dalam bidang industri makanan.

Bukan itu sahaja, Zahidah Mohamad Sharif, 33, turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu apabila pernah bekerja di Perancis dan Belgium.

Malah, beliau juga pernah mendapat beberapa tawaran daripada beberapa syarikat industri makanan di luar negara selepas kontraknya tamat.

Bagaimanapun, Zahidah membuat keputusan drastik untuk kembali semula ke tanah air untuk menjadi mentor pengurusan data bagi membantu usahawan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan di negara ini.

Keputusan yang dibuat Zahidah ini mula menimbulkan persoalan orang di sekelilingnya.

Apa tidaknya karier baharu yang diceburinya dikatakan 'lari' dan terpesong jauh daripada bidang yang diimpikan sebelum ini.

Zahidah berkata, sebenarnya segala-galanya berubah ketika dia bekerja dalam bidang industri makanan di luar negara.

Katanya, tujuan asal beliau ke luar negara untuk mencari jawapan sebenar mengapa industri makanan terutama yang baharu tidak mampu bertahan lama.

"Di Malaysia pada ketika itu tidak menawarkan kursus Teknologi dan Pengurusan Makanan Lestari dan apabila ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di luar negara oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam peringkat sarjana, saya tidak lepaskan peluang.

"Belajar di luar negara, saya turut didedahkan dengan industri apabila berpeluang bekerja di syarikat pembuatan makanan di Perancis dan Belgium.

"Di sini, baharu saya menemui jawapan sebenar masalah yang dihadapi industri makanan iaitu pengurusan data yang lemah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, ketika berada di sana, beliau didedahkan dengan pengurusan data yang sistematik.

"Di sana biarpun saya berada di dalam bidang pembuatan makanan, pekerja didedahkan dengan pengurusan data.

"Mereka begitu sistematik menggunakan pengurusan data untuk memastikan perniagaan terus kekal dalam industri," katanya.

Ketika kembali ke tanah air untuk menjadi seorang mentor pengurusan data, dia mengambil inisiatif untuk menggunakan pengalaman bertugas di luar negara dengan membuka kelas secara dalam talian membantu usahawan menguruskan maklumat pelanggan, jualan dan inventori dengan menggunakan perisian Microsoft Excel dan Google.

"Saya bermula secara sendiri dan menggunakan komputer riba serta telefon pintar sahaja dengan mengajar menerusi pengalaman yang diperoleh di luar negara.

"Alhamdulillah semakin lama, usaha saya mula membuahkan hasil apabila kelas yang dijalankan mendapat sambutan menggalakkan. Pada masa sama, saya turut belajar mengenai pengurusan data untuk menambahkan ilmu.

"Selepas dua tahun, saya dilamar untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat yang pakar dalam membangunkan pelbagai sistem, IDS Intergrated Solutions Sdn Bhd.

"Menerusi kerjasama ini, kami membantu usahawan untuk menguruskan data syarikat secara digital dengan menawarkan aplikasi mampu milik," katanya.

Tambahnya, dia mengakui ramai yang mempertikaikan keputusan untuk menjadikan mentor pengurusan data sebagai karier.

"Namun saya tidak endahkan perkara itu dan meneruskan apa yang saya percaya sehingga kini," katanya.

Ditanya mengenai pembabitan wanita dalam bidang itu, beliau mengakui jumlahnya sangat sedikit.

"Dalam bidang ini memang tidak ramai wanita kerana pendedahan yang kurang. Kalau bercakap berkenaan bidang komputer, kebiasaannya ramai yang pergi ke bidang pengaturcaraan (programming).

"Microsoft Excel sebenarnya amat penting untuk industri tapi sayang ia hanya diajar cara untuk gunakannya namun apabila tamat pengajian, mereka tidak dapat praktikkan kerana dalam karier majoriti meminta mereka mampu menguruskan data," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Zahidah berharap dapat membantu lebih banyak usahawan di negara ini untuk memanfaatkan kemudahan sistem digital dan teknologi untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Sekarang ini perkara positif yang kita boleh lihat, usahawan kita semakin menyedari kepentingan teknologi ini namun saya sebagai pemudah cara perlu memainkan peranan membantu mereka memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Kerajaan menerusi pelbagai agensi sedia ada turut turun padang membantu dan kami juga mahu bersama-sama membantu," katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 7:00am
d