pks

Semak aliran tunai sebelum moratorium berakhir

Oleh BERNAMA

USAHAWAN yang mengambil skim pembiayaan daripada institusi kewangan atau bank perlu menyemak segera keupayaan aliran tunai serta kesediaan mereka dari segi kewangan untuk membayar semula pembiayaan masing-masing sebelum moratorium berakhir pada 30 September ini.

Setiausaha Agung Persatuan Institusi-institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), Mohd Prasad Hanif berkata, bagi menjamin keupayaan kewangan mereka, usahawan perlu memperkemas semula model perniagaan masing-masing supaya selari dengan perubahan drastik dan normal baharu.

"Kegagalan usahawan bersedia dari awal, akan mendedahkan perniagaan kepada pelbagai risiko disebabkan jualan masih belum meningkat sepenuhnya manakala aliran tunai menyusut kerana pembayaran semula pembiayaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam keadaan ini, kuasa pembeli pasca-Covid-19 juga masih dalam proses penyesuaian dengan normal baharu dan usahawan mungkin tidak sempat mengubah suai model perniagaan untuk mengikut trend ini.

"Dalam situasi ini, usahawan tidak perlu teragak-agak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan ADFIM akan terus komited memberikan bantuan dan sokongan kepada mereka," katanya.

Bagi usahawan yang memerlukan khidmat nasihat, mereka boleh menghubungi Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR), Akademi Latihan Usahawan Teknologi (TENTRA), Bahagian Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat, Institut Francais (Perbadanan Nasional Berhad), Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) atau mana-mana bahagian pembangunan usahawan, menurut persatuan itu.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 2:53pm
d