pks

Jiwa bisnes kental

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BELIAU pernah bekerja sebagai pegawai kawalan kredit di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Namun tidak sampai setahun Wan Nooraini Wan Yahaya, 32, mengambil keputusan berhenti kerana lebih meminati untuk menceburi bidang perniagaan.

Bukan itu sahaja, beliau pernah bekerja di beberapa tempat namun perkara sama tetap dialami masih tidak kena dengan jiwanya.

Oleh itu, beliau mengambil keputusan drastik pulang ke kampungnya di Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang untuk meneruskan perniagaan ibu bapanya.

Wan Nooraini berkata, tanpa ilmu sebenarnya sukar untuk berniaga dengan cara betul.

"Saya hanya berniaga dengan pengalaman yang ada dan perniagaan nasi lemak yang diusahakan tidak berkembang seperti diharapkan.

"Perlu diakui berniaga di kampung, saya hanya menerima pelanggan sama pada setiap hari dan keuntungan yang diperoleh hanya cukup menampung modal dan melangsaikan hutang.

"Saya kemudian cuba berniaga ayam goreng namun tidak juga berjaya apabila berdepan saingan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, biarpun berdepan kegagalan beliau tidak berputus asa kerana yakin dengan perkara dilakukan.

"Saya datang daripada latar belakang keluarga yang suka berniaga. Dari kecil ibu dan ayah menyara kami lima beradik dengan perniagaan.

"Malah, saya masih ingat ketika berusia 10 tahun, ibu bapa pernah tinggalkan saya sendirian di kedai (kerana ada urusan) dan saya sediakan mi segera untuk pelanggan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyertai kursus pemasaran anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) selama enam bulan.

"Melalui kursus ini, saya mengenal pasti kelemahan dan kesilapan dalam perniagaan. Di sini saya diajar strategi perniagaan dan pengurusan wang dan akaun yang betul.

"Ia memberi semangat kepada saya untuk lebih berani keluar mencuba sesuatu yang baharu," katanya.

Tambahnya, beliau mendapat idea membuka sebuah kios di bandar Kuala Lipis dengan menjual makanan barat, Korea dan Jepun.

"Alhamdulillah percubaan pertama saya ini berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan. Pelanggan hanya perlu buat tempahan dalam talian sebelum mengambil pesanan 30 minit kemudian.

"Kini saya merancang membuka sebuah kafe dalam tempoh empat bulan akan datang," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 6:18am
d