pks

Orang Perancis suka makan serunding Hajah Che Moh

Oleh Nor Amalina Alias

USAHA menjual serunding jenama Hajah Che Moh secara dalam talian sejak dua bulan lalu membolehkan perniagaan berkenaan berkembang sehingga mendapat tempahan daripada pelanggan di Brunei, Perancis dan Arab Saudi.

Sebelum itu, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, perniagaan berkenaan mula menurun akibat pelanggan tidak dapat keluar rumah.

Perniagaan ini diusahakan Ahmad Fahmi Yusoff, 28, bersama ibu, Siti Fatimah Hamzah, 67, dan keluarga.

Menurut Ahmad Fahmi, serunding warisan nenek moyang itu diusahakan sejak puluhan tahun lalu dan dia adalah generasi ke empat yang mengusahakan pembuatannya.

"Kami usahakan perniagaan serunding ini di rumah. Apabila PKP dilaksanakan, pelanggan tidak dapat datang untuk membeli.

"Saya cuba pasarkan serunding secara dalam talian dan dalam tempoh kira-kira dua bulan, kami menerima tempahan lebih 2,000 kilogram serunding malah ramai berminat untuk menjadi ejen serta stokis," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Jelawat.

Menurut Ahmad Fahmi, ada juga pelanggan membuat tempahan untuk ahli keluarga yang berada di luar negara memandangkan tempoh hayat serunding yang tahan lama dan sesuai dimakan dengan nasi, roti dan hidangan lain.

Katanya, pihaknya mensasarkan untuk melantik 150 stokis di seluruh negara bagi memudahkan pelanggan membuat pembelian.

"Kami harap dapat bersama-sama membantu meningkatkan taraf ekonomi stokis, termasuk mereka yang kehilangan kerja, ibu tunggal dan lain-lain," katanya.

Menurut Ahmad Fahmi, keluarganya mengekalkan penggunaan bahan mentah semulajadi seperti halia, santan asli, bawang dan daging tempatan.

"Keseluruhan proses masakan memakan masa sekurang-kurangnya 12 jam bermula dengan merebus daging serta mencarik daging sehingga halus.

"Proses mencarik daging akan menentukan tekstur daging. Dulu, moyang akan carik satu persatu guna jarum, lebih halus, serunding lebih enak," katanya.

Menurut Ahmad Fahmi, serunding mudah dijual kerana sering mendapat permintaan ketika musim haji dan umrah.

Disiarkan pada: August 5, 2020 @ 1:32pm
d