pks

TEKUN sudah salur RM28j [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi Tekun Nasional sudah menyalurkan peruntukan RM28 juta kepada 3,900 usahawan mikro melalui Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, nilai itu daripada tambahan peruntukan RM100 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu perniagaan usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, fokus Medac pada masa ini membantu usahawan bagi memulihkan perniagaan mereka.

"Sebelum ini, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM200 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) kepada Tekun Nasional bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro Tekun (CBRM).

"Semua RM200 juta itu disalurkan kepada usahawan yang terjejas. Justeru, Medac meminta supaya tambahan RM100 juta diberikan lagi dan ia diluluskan.

"Oleh itu, kementerian komited dalam memudahcara perusahaan mikro, PKS dan koperasi untuk meneroka serta mengambil peluang dalam bidang ekonomi baharu," katanya sempena Perhimpunan Bulanan Medac di sini, semalam.

Skim TBRS adalah pembiayaan mikro yang ditawarkan kepada perusahaan mikro yang terjejas akibat Covid-19.

Wan Junadidi berkata, pihakya juga mengkaji mengenai mempertingkatkan kebolehan pasaran usahawan mikro.

"Kami masih mengkaji untuk menyediakan influencer dan mentor bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka.

"Ini kerana kami memahami kekangan kewangan usahawan mikro dari segi pemasaran yang terhad dan membayar influencer serta mentor juga mahal.

"Oleh demikian, kami menjangkakan bekerjasama dengan pihak berkenaan pada masa akan datang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 7:00am
    d