pks

Pondok Motivasi keluar beras

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Syarikat pengedar produk berasaskan makanan ruji milik penuh Bumiputera, Pondok Motivasi Sdn Bhd menerusi produk terbaharunya, Beras Ashraffi menyasarkan jualan sehingga 5,000 paket beras dalam bulan pertama keluarannya.

Pengasasnya, Mohd Ashraf Suarin berkata, pihaknya mengeluarkan Beras Ashraffi bagi membolehkan masyarakat mendapatkan beras bermutu tinggi, bersih dan dijamin halal.

"Saya nekad mengeluarkan beras jenama sendiri yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.

"Ini berikutan tidak ramai pengeluar beras daripada kalangan orang Islam dan saya mahu menyahut cabaran menjadi pengedar makanan ruji bermutu tinggi Muslim," katanya pada majlis pelancaran Beras Ashrafii di sini.

Beliau yang juga pengasas sekolah tahfiz, Pondok Motivasi Tahfiz Hamlatul Qur'an, Tanjong Karang, Selangor berkata, keluaran Beras Ashraffi juga sebahagian usaha memajukan masyarakat Islam ke satu tahap lebih tinggi.

"Jika lebih banyak keluaran produk Muslim dipasarkan pasti memberi manfaat kepada masyarakat kita.

"Selain produk beras, kami merancang mengeluarkan produk lain antaranya tepung gandum dan beras pulut dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan," katanya.

Menurutnya, antara sebab utama beliau mengeluarkan Beras Ashraffi ini sebagai punca pendapatan menampung sekolah tahfiznya.

"Kami kini ada 60 pelajar tahfiz dan hanya 30 peratus membayar yuran pengajian manakala selebihnya ditanggung pihak tahfiz sepenuhnya.

"Bagi operasi baik pulih dan penyelenggaraan bangunan, kami memperuntukkan RM500,000 dan saya harap dapat mencapai sasaran jualan bagi menanggung kos itu," katanya.

Selain itu, Mohd Ashraf juga menubuhkan Pondok Souq iaitu rangkaian kedai pengedaran makanan sejuk beku halal keluaran 100 peratus Bumiputera Islam.

"Selain makanan sejuk beku, Pondok Souq juga menyediakan keperluan harian lain antaranya ubat, minyak wangi dan koleksi jubah.

"Orang ramai boleh mendapatkan keluaran Beras Ashraffi di semua rangkaian pasar raya dan kedai runcit seluruh Malaysia dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

Seiring visi keluarannya iaitu membeli sambil beramal, Mohd Ashraf berkata, 20 peratus daripada pembelian satu paket beras seberat satu kilogram (kg) disalurkan kepada golongan memerlukan antaranya asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 4:59pm
d