pks

Tubuh akademi RPA

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Penyedia teknologi automasi proses robotik (RPA) milik penuh Bumiputera, MRTE (M) Sdn Bhd menyasar menubuhkan akademi RPA menjelang akhir tahun depan dalam usaha memperluas bidang itu di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Badrul Hisham Ramli berkata, sejak 2016, pihaknya memulakan transfomasi digital syarikat dengan mengadaptasi teknologi Internet Benda (IoT) dalam operasi dan perkhidmatan perniagaan.

Menurutnya, serentak itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke atas sistem RPA mula dilaksanakan secara sepenuh masa oleh tenaga kerja dalaman syarikat dalam menghasilkan perisian terbaik bukan hanya di Malaysia, malah peringkat dunia.

"Selepas 26 bulan melalui dua fasa R&D yang menelan kos RM10 juta sejak awal 2017, kami kini yakin untuk menyatakan kesediaan syarikat melancarkan RPA yang dibangunkan di bawah nama hak cipta M-BOT ini pada Disember tahun ini.

"Ia disusuli dengan fasa penambahbaikan dan memperkayakan fungsi M-BOT dimana RPA ini bakal dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) yang akan menjadikannya lebih pintar serta memiliki keupayaan kognitif.

"Pada masa sama, tumpuan akan terus diberikan kepada penubuhan akademi RPA yang disasar dibina sama ada di Cyberjaya atau Putrajaya pada penghujung tahun depan," katanya.

Memperincikan akademi itu, menurutnya, pihaknya menjangka sekurang-kurangnya RM50 juta dilaburkan bagi membina akademi itu dengan anggaran 70 peratus daripadanya dibiayai oleh pinjaman dengan institusi kewangan sementara selebihnya adalah dana dalaman syarikat.

Dengan adanya akademi pertama seumpama itu di Malaysia, katanya, sekurang-kurangnya 2,000 graduan disasar dihasilkan setiap tahun yang bakal mengisi ruang pekerjaan membabitkan industri RPA yang semakin diperlukan di negara ini.

"Kami optimis jumlah pelajar di akademi juga akan meningkat saban tahun seiring jangkaan peningkatan permintaan terhadap pakar dalam RPA apabila M-BOT diadaptasi secara meluas kelak.

"Setiap graduan akademi RPA tentu mempunyai kebolehpasaran yang tinggi apabila teknologi ini nanti dimanfaatkan kebanyakan majikan di sektor awam atau swasta yang memerlukan tenaga mahir untuk mengendalikannya," katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 4:52pm
d