pks

Jual tudung dari rumah sampai masuk SOGO

Oleh Suliati Asri

Siapa sangka perniagaan tudung kanak-kanak yang mula beroperasi dari rumah dan dijalankan secara dalam talian kini semakin dikenali serta mendapat sambutan yang menggalakkan.

Lebih membanggakan, jenama tudung kanak-kanak Fathiya's Dreams diusahakan sejak lapan tahun lalu berjaya menjadi jenama tudung kanak-kanak pertama diterima masuk di bahagian kanak-kanak pusat beli-belah terkemuka, SOGO Malaysia.

Pemilik syarikat 2G Resources Sdn Bhd dan Pengasas Fathiya's Dreams Rodzi Mohamed berkata, dia sendiri tidak menyangka berpeluang meletakkan jenamanya di pusat beli-belah.

Rodzi berkata, dirinya bersyukur dengan bantuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan rakan usahawan lain yang bernaung di bawah agensi kerajaan itu, jenamanya mula dikenali ramai dan dipasarkan di pusat beli-belah.

"Selama ini, saya tidak pernah terfikir memasarkan produk ini di pusat beli-belah walaupun memang ada perancangan ke arah itu. Maklum saja, untuk mendapatkan peluang itu bukan mudah dan saya tidak mempunyai rangkaian.

"Namun, menerusi seminar selama tiga hari yang saya ikuti anjuran KPDNHEP, ia memberi peluang kepada saya mengenali lebih ramai usahawan dan wakil pusat beli-belah seterusnya membolehkan jenama ini duduk sebaris dengan jenama barangan kanak-kanak lain di pusat beli-belah terkemuka," katanya.

Rodzi berkata, sepanjang seminar itu banyak maklumat diperoleh termasuklah mengetahui cara dan kriteria memasarkan produk di pusat beli-belah dan pasar raya besar dengan perkongsian diberikan.

Selain itu, katanya perkongsian dari usahawan lain yang bernaung di bawah KPDNHEP juga banyak membantu dan memberi tunjuk ajar dari pelbagai aspek.

Menurut Rodzi, selain seminar, KPDNHEP juga membantu saya mengembangkan perniagaan dengan memberi peluang mengikuti siri jelajah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di beberapa lokasi.

Katanya, menerusi pembukaan ruang niaga di beberapa pusat beli-belah, jenamanya semakin dikenali ramai dan mendapat sambutan terutama mereka yang ingin menjadi wakil jualan.

"Siapa yang tidak mahu membuka ruang niaga di pusat beli-belah. Namun disebabkan sewa tinggi iaitu sekitar RM2,000 hingga ke RM3,000, ia satu jumlah yang sangat besar.

"Namun, dengan bantuan KPDNHEP, kami berpeluang mempromosikan dan memperkenalkan jenama Fathiya's Dreams. Alhamdulillah, sambutan sangat baik.

"Lebih menggembirakan, sepanjang KBBM itu, bukan pelanggan saja yang banyak membuat pembelian tetapi ramai juga pengunjung yang berminat menjadi agen jualan," katanya.

Kumpulan WhatsApp disertai ramai usahawan di bawah naungan KPDNHEP ini juga banyak membantu perjalanan perniagaannya.

"Sebagai peniaga, ada kala peluang itu ada di depan mata tetapi kita tidak tahu caranya terutama untuk menembusi pasaran di pasar raya besar dan pusat beli-belah.

"Jadi dengan adanya kumpulan WhatsApp ini, ia banyak membantu dan kita boleh lihat peluang yang ada. Selain itu, usahawan lain juga sentiasa saling membantu dalam pelbagai hal," katanya.

Berkongsi sedikit perjalanan perniagaannya yang menjual rangkaian produk muslimah untuk kanak-kanak, Rodzi memulakan perniagaan secara dalam talian pada 2012 dan beroperasi hanya dari rumah.

Pada 2014, ia membuka mini butik bagi memenuhi permintaan pelanggan yang gemar membeli secara terus dan membuka butik pertamanya fathiyah's dreams pada 2017.

Rodzi berkata, dengan keadaan pandemik Covid-19 ini, ramai peniaga terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas sehingga ada yang terpaksa menutup perniagaan mereka.

Justeru, dengan bantuan seperti latihan dan pemasaran yang dianjurkan KPDNHEP itu, ia sangat diperlukan oleh usahawan.

"KPDNHEP juga perlu melakukan lebih banyak program untuk lebih dekat dengan usahawan kerana masih ramai usahawan bumiputera tidak tahu mengenai produk bantuan yang disediakan KPDNHEP.

"Selain itu, saya berharap program sedia ada KBBM perlu diteruskan dan ditambahbaik bagi memperkenalkan lagi barangan buatan Malaysia kepada masyarakat sekali gus dapat memajukan perniagaan PKS," katanya.

Bagi pengeluar produk permainan blok jenama Agola keluaran syarikat Prisma Quantum Sdn Bhd, KPDNHEP banyak membantu syarikat memperkenal dan mempromosikan produknya kepada orang ramai.

Pemilik syarikat dan jenama Agola, Mohd Foat Abd Jalil berkata, perniagaan barangan permainan blok Agola yang bermula 2019 itu sememangnya tidak diketahui ramai selain perlu bersaing dengan produk permainan lain diimport dari luar negara.

Namun, katanya, bantuan dari KPDNHEP menerusi penyertaannya dalam siri jelajah KBBM menjadikan produknya semakin dikenali ramai dan mendapat permintaan tinggi.

"Sebelum ini, saya cuba menjual barangan permainan Agola di beberapa pusat beli-belah dan platform lain tetapi tidak mendapat sambutan kerana kebanyakan mereka tidak mengenali apa itu Agola.

"Justeru, saya nekad memperkenalkan Agola ini kepada rakyat Malaysia dan Alhamdulillah dengan mengikuti siri jelajah KBBM anjuran KPDNHEP dengan pembukaan booth di lima lokasi ini, orang semakin kenal," katanya.

KPDNHEP sangat membantu dalam memperkenalkan produk Agola ini sekaligus membantunya untuk mencapai matlamat memperkenalkan produk permainan blok yang 100 buatan Malaysia ini di seluruh dunia dan seiring dengan jenama permainan blok lain.

"Saya sangat berterima kasih kepada KPDNHEP kerana dengan bantuan yang diberikan, Agola semakin dikenali di Malaysia. Kalau dapat peluang lain, jangan lupakan Prisma Quantum Sdn Bhd," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 2:16pm
d