pks

Kukuh jenama dulu

Oleh Rosyahaida Abdullah

PENGUSAHA restoran Sudu House, Sudu Barakah Enterprise menyasar mewujudkan dapur pusat dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun lagi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan cawangan baharu yang dirancang dibuka secara berperingkat bermula 2021.

  Pemiliknya, Ikma Faroza Ahmad Kamal berkata, ketika ini, fokus utama perniagaan masih terarah kepada usaha memperkukuh jenama Sudu House terlebih dahulu memandangkan restoran itu baru saja dibuka pada September lalu.

  Beliau yang turut berperanan sebagai pengarah syarikat menjelaskan jika perniagaan Sudu House yang kini beroperasi di Jalan Othman, Muar, Johor berjalan lancar sebagai diharapkan, usaha menambah cawangan akan dimulakan khususnya di Lembah Klang sebagai lokasi pertama dalam masa setahun lagi.

  "Selain mengukuhkan jenama Sudu House dalam industri makanan dan minuman (F&B) tempatan, fokus ketika ini juga membabitkan latihan untuk kakitangan supaya mereka lebih bersedia dalam menjadi tulang belakang kepada cawangan seterusnya, sekali gus melalui peningkatan kerjaya dalam bidang ini.

  "Pada masa sama, tumpuan turut diberikan kepada penghasilan pes bagi masakan kami seperti asam pedas, kuah lemak dan rencah sayur supaya rasa serta kualiti makanan dapat dikawal malah dikekalkan walau di mana pun Sudu House beroperasi nanti.

  "Kami juga melihat keperluan mewujudkan dapur pusat menjelang tiga tahun akan datang bagi memastikan kelancaran operasi penghasilan pes dan bahan mentah untuk kegunaan semua cawangan kelak," katanya kepada Bisnes Metro.

  Ikma Faroza berkata, pihaknya kini mempertimbangkan keperluan menambah beberapa peralatan seperti dapur memasak dan pendingin (chiller) untuk restoran sulungnya itu.

  "Ketika ini, Sudu House memiliki lima kakitangan yang kesemuanya memiliki semangat kerja berpasukan cukup tinggi menjadikan setiap tugasan mudah dibuat walaupun pasukan kami kecil.

  "Namun kami juga masih mempertimbangkan untuk menambah kakitangan dalam tempoh terdekat," katanya.

  Ditanya mengenai pembukaan restoran itu yang dilaksanakan sewaktu pandemik Covid-19 masih belum reda, menurut Ikma Faroza, ia umpama waktu tepat untuk merealisasikan impiannya sejak sekian lama.

  Ini kerana katanya, beliau umpama terkandas di kediaman ibunya di Muar selepas melahirkan cahaya mata pertama dan tidak dapat pulang ke pangkuan suami yang bekerja di Mesir, susulan kes Covid-19 kian membimbangkan.

  "Susulan keadaan Covid-19 masih belum selamat, saya fikir lebih baik saya lakukan sesuatu yang bermanfaat untuk isi masa terluang dan di situlah tercetusnya Sudu House.

  "Dengan minat dan kemahiran memasak khususnya makanan Melayu kampung, saya mulakan restoran ini berbekalkan modal sendiri dan turut mengetengahkan konsep Set Mangkuk Tepen (mangkuk tingkat) sebagai pilihan buat pelanggan.

  "Setiap hari menu memang bertukar-tukar namun semestinya asam pedas dan ikan bakar adalah menu wajib setiap hari," katanya.

  Tambah Ikma Faroza, menu harian restorannya akan dikemas kini di Facebook Sudu House dan pihaknya bercadang melanjutkan waktu operasi, berbanding antara 11 pagi hingga 4 petang ketika ini.

  "Mungkin kami akan lanjutkan operasi restoran sehingga waktu malam sekitar dua bulan lagi dengan beberapa menu akan ditambah seperti roti canai dan nasi lemak," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 10:00am
d