pks

Kini mampu bersaing

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Syarikat agrikultur, Colla Niaga Sdn Bhd yang memfokuskan aktiviti import, eksport dan penjualan daging tempatan berkualiti tinggi memproses 120 ekor lembu dengan anggaran 24,000 kilogram (kg) daging segar dalam tempoh sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamal Abdul Karim berkata, walaupun baru tiga tahun beroperasi hasil kerjasama dengan rakan kongsi, Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim, Colla Niaga kini mampu bersaing di pasaran.

"Kami memulakan operasi pada 2017 dengan hasrat untuk menjadi pembekal dan pengedar utama lembu dan kambing serta daging segar tempatan yang halal pada harga berdaya saing dan berpatutan.

"Selepas tiga tahun, kami berjaya memiliki lima ladang persendirian dan kedai daging yang menawarkan daging segar hasil ternakan sendiri di bawah jenama Colla Meat House.

"Malah, haiwan ternakan kami diberi makanan hasil formulasi kami sendiri selain turut menggunakan khidmat penyembelih bertauliah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, tahun lalu produk keluarannya sudah menembusi pasar raya di Malaysia seperti Mydin, Giant dan Aeon Big.

"Terdapat juga permintaan untuk menjadi ejen Colla dan membuka cawangan atas nama Colla, namun saya masih belum bersedia kerana sumber ternakan masih belum mencukupi.

"Saya khuatir bila terlalu cepat membuka ruang kepada orang ramai untuk turut serta dalam perniagaan ini, sumber tidak mencukupi, sekali gus menjejaskan nama baik Colla," katanya.

Katanya, menuju ke depan, fokus utama Colla Niaga pada 2021 adalah untuk memperkasakan pembiakan untuk haiwan ternakan di Taiping, Perak bagi meningkatkan populasi ternakan di Colla bagi kegunaan pasaran di Malaysia, serta mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 7:40am
d