pks

Teroka global guna e-dagang

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

USAHAWAN di negara ini digalakkan untuk mengambil peluang dalam situasi ketidaktentuan perdagangan dunia pada masa ini termasuk dengan meneroka pasaran global menerusi platform e-dagang.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Street UK Ltd, Simon Suresh berkata, memandangkan pintu sempadan masih ditutup bagi sebarang aktiviti perdagangan, e-dagang adalah platform terbaik bagi usahawan untuk meneroka pasaran global.

Katanya, ia juga dapat memasarkan produk kepada kumpulan sasaran pembeli yang lebih besar pada kadar berpatutan.

"Pasaran eksport ke rantau Eropah adalah antara solusi terbaik bagi usahawan dalam mengambil kesempatan ketika ketidaktentuan perdagangan global ini.

"Ramai yang tidak tahu bahawa masyarakat Islam di sana bergelut untuk mendapatkan barangan halal dan bagi mereka, pengiktirafan halal adalah lima kali lebih penting berbanding harga berpatutan.

"Malaysia mempunyai kelebihan yang amat besar di mana sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim diperakui seluruh dunia," katanya.

Menurutnya, antara platform dalam talian yang membantu PKS mengeksport produk halal ke Eropah adalah Halal Street UK.

Suresh berkata, platform itu menawarkan perkhidmatan perniagaan-ke-perniagaan dan perniagaan-ke-pelanggan dengan mempromosikan barangan halal yang mendapat pengiktirafan daripada badan bertauliah.

"Masih ramai yang sangsi dengan potensi pasaran halal di Eropah, tetapi sudah ada usahawan yang berjaya memasarkan produk ke sana terutama ke United Kingdom (UK) menerusi platform e-dagang Halal Street UK.

"Permintaan pelanggan di sana tidak terhad kepada makanan dan minuman (F&B) saja sebaliknya turut meliputi sektor halal lain termasuk fesyen, kosmetik, makanan tambahan halal, farmaseutikal dan pendidikan Islam.

"Sebagai contoh, pewarna rambut mesra wuduk dan pelitup muka batik antara menjadi kegilaan masyarakat di sana.

"Baru-baru ini, beberapa usahawan juga mendapat tempahan produk daripada kerabat diraja negara jiran menetap di negara Big Ben," katanya.

"Ini adalah motivasi buat usahawan untuk bangkit selain daripada anjakan paradigma untuk terus melangkah ke hadapan," katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 6:50am
d